berita

Agaknya Apa Rasa Bakso Bila Dimakan Dengan Durian? Menu Unik Lelaki Ini Jadi Tumpuan

August 8th, 2019 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Durian sememangnya menjadi kegemaran rakyat Malaysia terutama apabila tiba musimnya. Raja buah itu nampaknya berjaya menghasilkan pelbagai menu lain berasaskan durian seperti cendol durian, crepe durian, kerepek durian, ice-blended durian dan macam-macam lagi.

Namun, kita masih belum terbiasa dengar dengan durian yang diadunkan bersama bebola daging dan dimakan bersama sup. Haaa.. pelik bukan? Itulah menu yang dihasilkan oleh seorang tukang masak yang berasal dari Terengganu apabila dia menggunakan daya kreativitinya untuk menghasilkan menu yang dinamakan sebagai bakso durian.

Tak sangka dapat sambutan

Seperti yang kita tahu, bakso merupakan makanan berasaskan sup yang dimakan bersama bebola daging dan berasal dari Indonesia.  Mesti ramai yang tak sangka gubahan menu itu akan mendapat tempat di hati penggemar durian bukan?

Namun, Helmi Abd Rashid yang juga pemilik kedai Ni Dio Abe Pok Mie Bakso  sendiri terkejut apabila menu itu  kini mendapat sambutan hangat sehingga ke Sabah dan Sarawak.

Memetik laporan Sinar Harian, Helmi berkata sejak perniagaannya mula diasaskan pada 2010, tidak ramai yang mengenali bakso yang dijual olehnya. Tetapi hasil olahan idea kreatifnya berjaya membuatkan gerai itu dihujani dengan lebih ramai pelanggan pada ketika ini.

Boleh dikatakan setiap hari gerai bakso saya akan dipenuhi pelanggan. Ada yang datang dari Kuala Lumpur dan Kota Baharu, Kelantan. Tidak kurang juga ada tempahan yang saya terima untuk hantar bakso sejuk beku (frozen) ke Sabah dan Sarawak.

Murah! Harga semangkuk bakso durian RM5 hingga RM8 je

Menurut Helmi, bagi menghasilkan menu itu campuran durian bersama bebola daging perlu dibuat. Pelanggan boleh menikmati hidangan unik itu pada harga RM5 ke RM8 bergantung kepada jenis durian.

Selain bakso berisi durian, keistimewaan supnya juga mampu menambat selera pelanggan apabila 13 jenis rempah dicampurkan untuk menghasilkan rasa yang lebih enak.

Sebelum ini, nak dapat seorang dua pelanggan pun agak susah. Namun selepas berita mengenai bakso yang saya jual terutama bakso durian mendapat liputan di dada akhbar, jualan meningkat sehingga 45 peratus.

Haaa.. bagi korang yang ‘hantu’ durian dekat luar tu boleh la cuba bakso durian ni  di Pasar Tani Kekal (PTK) Fama Nyior Tujuh, Jertih . Mana tahu, lepas dah cuba termimpi-mimpi pula kan.

Sumber: Sinar Harian

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×