Penyanyi dan komposer, Aina Abdul tidak sabar untuk memperdengarkan buah tangan terbaharunya berjudul Berjauhan yang akan dilancarkan pada 24 April ini.

Artikel Berkaitan: AJL40 SA: Ada Masalah Teknikal, Aina Abdul Kurang Puas Hati Dengan Persembahan – ‘Jika Masuk Final Saya Akan Tebus Semula’

Berjauhan

Aina atau nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani, 32, berkata lagu tersebut mempunyai nilai sentimental tersendiri dan dihasilkan dengan penuh kejujuran.

Saya sangat teruja untuk melancarkan lagu Berjauhan. Alhamdulillah, karya ini cukup bermakna buat saya dan saya harap pendengar juga dapat merasai apa yang saya cuba sampaikan.

Apa yang boleh saya katakan, lagu ini agak berbeza daripada karya-karya saya sebelum ini. Saya sendiri tidak pasti bagaimana penerimaannya, jadi saya sangat menantikan maklum balas daripada semua.

Secara peribadi, saya puas hati dengan lagu ini dan tidak sabar untuk berkongsi dengan semua. Dalam beberapa hari sahaja lagi, anda semua boleh dengarnya.

Aina berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Separuh Akhir Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40 SA) yang berlangsung di Studio TV3, Glenmarie, Shah Alam, baru-baru ini.

Lebih menarik, pemenang trofi Vokal Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-29 (AIM29) itu turut mendedahkan bahawa lagu Berjauhan merupakan hasil kolaborasi bersama pemuzik dari Indonesia, Vega Antares.

Saya mula menghasilkan lagu ini sejak tahun lalu dan ditulis sepenuhnya oleh saya. Untuk kali ini, saya bekerjasama dengan penerbit dari Indonesia, Vega Antares.

Kebiasaannya saya banyak bekerja dengan Jenny Chin atau Mac Chew, tetapi kali ini saya mahukan sesuatu yang lebih segar dan berbeza, jadi saya cuba pendekatan baharu.

Saya harap pendengar yang pernah melalui situasi sama dapat merasai dan memahami emosi di sebalik lagu ini.

Terdahulu, Aina memuat naik poster lagu Berjauhan di media sosialnya sekali gus membuatkan peminatnya tidak sabar serta berasa teruja.

Dalam perkembangan lain, lagu Kamu ciptaan sepenuhnya Aina antara 10 karya berjaya melangkah ke pentas AJL40 yang dijadualkan berlangsung pada Ogos depan.