Penyanyi Aina Abdul bakal membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa apabila dipilih sebagai wakil negara ke Eurovision Song Contest Asia 2026.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Pertemuan Dengan Stranger Ubah Pemikiran Aina Abdul, Tak Kisah All Out Untuk ‘Kamu’ Di AJL40

Aina Abdul sertai Eurovision Song Contest Asia

Peluang itu hadir selepas Aina melakar kejayaan berganda di AJL40 apabila meraih Persembahan Terbaik AJL40 menerusi lagu Kamu selain dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee berdasarkan undian peminat.

Persembahan Kamu di pentas berprestij itu sememangnya meninggalkan kesan apabila Aina tampil dengan konsep visual yang sarat simbolik. Elemen gunung berapi yang meletus digunakan bagi menggambarkan emosi yang semakin memuncak, disokong penggunaan prop, gerakan pentas serta vokal penuh penghayatan.

Tidak sekadar mengutamakan aspek persembahan, Aina turut berjaya menyampaikan sisi emosional lagu tersebut yang berkisar tentang kemarahan, kekecewaan dan kehilangan.

Kamu merupakan lagu keempat yang dimuatkan dalam album sulung Aina, Imaji. Lagu berentak pop R&B ini membawa kisah tentang seseorang yang pernah menjadi sumber ketenangan sebelum akhirnya meninggalkan kenangan yang menyakitkan.

Pemilihan Aina dilihat bertepatan dengan identitinya sebagai penyanyi yang sering tampil dengan persembahan berkonsep, selain menggabungkan elemen muzik, fesyen dan visual dalam setiap persembahan.

Kini, Aina bakal meneruskan momentum tersebut ke pentas antarabangsa apabila diberi kepercayaan untuk mewakili Malaysia di Eurovision Song Contest Asia 2026 menerusi pemilihan yang dibuat oleh barisan juri profesional.

Pertandingan berprestij yang dianjurkan oleh European Broadcasting Union (EBU) sejak 1956 itu bakal menghimpunkan penyanyi berbakat dari seluruh Asia dalam sebuah acara muzik secara langsung selama dua jam.

Eurovision Song Contest Asia 2026 dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 14 November 2026, jam 9.00 malam dan akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 serta platform penstriman Tonton.