Penyanyi, Aina Abdul mengakui bukan mudah untuk membawa genre tradisional dan mempunyai sebab tersendiri belum menghasilkan karya-karya berunsurkan irama Malaysia.

Artikel Berkaitan: Wanita ‘Back Up’ Aina Abdul Pakai Jaket Ketika Musim Panas – ‘Angin Pun Sejuk’

Artikel Berkaitan: Aina Abdul Sudah Hantar Pencalonan AIM24 – ‘Doakan Saya’

Aina berhati-hati

Ketika ditemui OhBulan!, Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, memaklumkan, dia masih belum bersedia untuk mendendangkan dan menghasilkan lagu bergenre irama tradisional.

Pandangan saya sedikit berbeza, bagi saya meskipun ada segelintir orang mempunyai suara untuk menyanyikan lagu irama tradisional, namun ianya tidak mudah untuk dibawakan.

Kerana irama tradisional ini bukan satu nyanyian yang boleh dibuat-buat. Barisan penyanyi tradisional di Malaysia ini, mereka belajar setiap lenggok itu.

Menurut penyanyi bervokal tinggi tersebut, dia perlu memberi pertimbangan yang mendalam terhadap sesuatu karya yang dihasilkan supaya dapat menjamin kelangsungan identitinya di dalam industri muzik.

Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang berhasrat mahu melihat saya menyanyikan dan memuatkan lagu tradisional di dalam album.

Namun, jika saya tidak mengikuti permintaan tersebut, tidak bermakna saya tidak mendengar atau degil dengan karier saya.

Cuma saya lebih berhati-hati dalam memilih dan menghasilkan karya yang sesuai dengan diri yang membolehkan saya untuk mempromosikannya dalam jangka masa yang panjang.

Aina berkata demikian ketika ditemui pada jelajah Anugerah Melodi Terhangat yang berlangsung di Kuantan City Mall, Pahang baru-baru ini.

Lakukan yang terbaik

Tambah pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL 37) itu lagi, dia tidak mahu sekadar menuruti pandangan orang lain lalu mengetepikan kata hati kerana percaya boleh memberi impak negatif terhadap dirinya.

Ia boleh menyebabkan saya menjadi ‘burn out’. Saya tak nak perkara tersebut berlaku, jadi saya akan lakukan apa yang terbaik untuk diri saya secara berperingkat.

Bagaimanapun, Aina tidak menolak kemungkinan akan membawakan lagu-lagu dari genre tersebut pada masa akan datang.

Saya tak berkata tidak untuk genre ini, kerana karier saya sendiri bermula dengan irama tradisional iaitu di majlis-majlis perkahwinan yang membawa muzik Caklempong.

Saya ada latar belakang itu tetapi masih kurang pandai, ia perlu diasah lagi. Bagi saya masa untuk mempelajari genre tersebut tetapi tiada kemungkinan tidak. InsyaAllah, doakan.

Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Jangan Mati Rasa Itu tersebut tercalon sebagai Top 10 bagi dua kategori iaitu Selebriti Muzik Paling Onz & Terhangat serta Selebriti Ikon Terhangat Dikuasai Oleh Samsung Galaxy untuk Anugerah Melodi Terhangat.