
Pemilihan penyanyi, Aina Abdul sebagai wakil Malaysia ke Eurovision Song Contest Asia 2026 mencipta satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan kerjayanya.
Pengumuman itu dibuat ketika Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) pada 15 Ogos lalu, malam yang turut menyaksikan Aina memenangi Anugerah Persembahan Terbaik menerusi lagu Kamu.
Aina bakal membawa nama Malaysia ke edisi sulung Eurovision Song Contest Asia yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada 14 November 2026. Penganjur menyatakan negara-negara yang mengambil bahagian mewakili populasi lebih 600 juta orang di rantau ini.
Namun, menjadi penyanyi hebat di Malaysia dan bertanding di pentas muzik serantau sebesar Eurovision Asia adalah dua perkara berbeza. Jadi, apakah cabaran terbesar yang bakal menanti Aina?
Artikel Berkaitan: Gunung Berapi Jadi Metafora Luka, Aina Abdul Dedah Maksud Di Sebalik Persembahan ‘Kamu’ Di Pentas AJL40
Artikel Berkaitan: Aina Abdul Bakal Wakili Malaysia Ke Eurovision Song Contest Asia 14 November Ini
1. Lagu Yang Dipilih Boleh Menentukan Segalanya
Perkara pertama yang bakal menjadi perhatian sudah tentu lagu yang akan dibawa Aina ke Bangkok. Setakat pengumuman dibuat, lagu yang akan mewakili Malaysia masih belum didedahkan.
Ini penting kerana Eurovision pada asasnya merupakan pertandingan lagu, bukan semata-mata pertandingan untuk menentukan siapa penyanyi dengan vokal paling hebat.
Aina memang mempunyai kelebihan menerusi kemampuan vokal dan pengalaman menghasilkan karya dramatik seperti Sumpah, Terus Hidup dan Jangan Mati Rasa Itu.
Namun untuk pentas seperti Eurovision Asia, karya yang dipilih perlu memberikan impak kepada pendengar yang mungkin pertama kali mendengar namanya.
Lagu itu bukan sahaja perlu mencabar vokal Aina, tetapi mempunyai melodi, hook dan identiti yang cukup kuat untuk terus diingati.
2. Tiga Minit Untuk Buat Seluruh Asia Ingat Namanya
Eurovoix melaporkan peraturan Eurovision Asia akan mengikuti format utama Eurovision, termasuk lagu yang tidak melebihi tiga minit serta maksimum enam individu berada di atas pentas.
Sebagai perbandingan, peraturan rasmi Eurovision Song Contest juga menetapkan had tiga minit dan maksimum enam penghibur di atas pentas.
Tiga minit sebenarnya cukup singkat untuk sebuah persembahan yang mahu memperkenalkan seorang artis kepada jutaan penonton.
Lebih-lebih lagi Aina terkenal dengan lagu yang mempunyai perkembangan emosi, susunan vokal besar dan klimaks dramatik.
Kali ini setiap saat akan menjadi penting. Daripada beberapa saat pertama, chorus sehinggalah nota terakhir, semuanya perlu mempunyai tujuan.
3. Semua Orang Di Malaysia Tahu Aina Boleh Menyanyi, Tapi Asia Belum Tentu Kenal Siapa Dia
Di Malaysia, kemampuan vokal Aina mungkin sudah tidak perlu diperkenalkan. Tetapi Eurovision Asia memberikan situasi yang berbeza.
Sebahagian besar penonton dari Korea Selatan, Thailand, Filipina, Vietnam, Nepal, Bhutan dan negara lain mungkin menonton Aina buat kali pertama. Negara-negara tersebut merupakan antara pasaran yang diumumkan dalam peluasan sulung Eurovision ke Asia.
Jadi persoalan yang perlu dijawab bukan sekadar, ‘seberapa tinggi Aina boleh menyanyi?’. Sebaliknya, ‘Siapa Aina Abdul?’.
Dalam tempoh beberapa minit sahaja, dia perlu memperkenalkan identiti muziknya kepada audiens baharu.
Nota tinggi mungkin menghasilkan momen, tetapi personaliti dan identiti artistiklah yang boleh membuatkan penonton mengingatinya selepas semua peserta selesai membuat persembahan.
4. Persembahan Mega Tidak Boleh Sampai Menenggelamkan Lagu
Visual sememangnya sudah menjadi sebahagian daripada identiti Aina. Kostum, pencahayaan, konsep pentas dan elemen teatrikal sering digunakan untuk membawa lagu-lagunya ke tahap berbeza.
Terbaharu, persembahannya menerusi Kamu di AJL40 membolehkan Aina sekali lagi membawa pulang Anugerah Persembahan Terbaik.
Justeru, tidak mustahil aspek visual akan menjadi antara senjata terbesarnya di Bangkok. Namun di sinilah datangnya cabaran.
Persembahan Eurovision perlu kelihatan spektakular di televisyen, tetapi visual yang terlalu banyak juga berisiko menyebabkan perhatian penonton beralih daripada lagu.
Aina dan pasukannya perlu mencari satu konsep yang besar tetapi mudah difahami. Kadangkala satu visual ikonik lebih mudah diingati berbanding sepuluh idea yang berlaku serentak.
5. Mahu Kedengaran Antarabangsa Atau Kekalkan Identiti Malaysia?
Ini mungkin antara keputusan kreatif paling menarik. Adakah Aina perlu tampil dengan lagu berbahasa Inggeris supaya lebih mudah diterima pasaran Asia? Atau Malaysia sepatutnya menjadikan bahasa Melayu sebagai kekuatan?
Pengalaman Aina sendiri menunjukkan bahasa Melayu bukanlah penghalang untuknya membuat persembahan di peringkat antarabangsa.
Pada 2023, dia mewakili Malaysia di ABU TV Song Festival di Seoul, Korea Selatan dan membawakan Terus Hidup. Festival tersebut menghimpunkan wakil daripada 11 negara dan wilayah termasuk Jepun, Korea Selatan, China, Vietnam dan Malaysia.
Malah, Eurovision sejak sekian lama membenarkan lagu dipersembahkan dalam apa-apa bahasa. Justeru persoalannya mungkin bukan sama ada Aina perlu menjadi lebih ‘international’.
Sebaliknya, bagaimana Aina boleh menghasilkan sesuatu yang cukup Malaysia untuk mempunyai identiti, tetapi cukup universal untuk dirasai oleh penonton dari negara lain.
6. Perlu Menawan Juri Dan Penonton Serentak
Eurovision Asia bukan sekadar persembahan yang dinilai oleh panel profesional.
Tourism Authority of Thailand (TAT), ketika mengumumkan penganjuran acara itu, mengesahkan sistem pengundian Eurovision Asia akan menggabungkan penyertaan penonton dan penilaian juri profesional.
Eurovoix pula melaporkan pembahagiannya dijangka mengikut formula 50 peratus undian penonton dan 50 peratus undian juri.
Ini mewujudkan cabaran tersendiri. Sebuah persembahan boleh mempunyai vokal hebat dan komposisi kompleks yang dihargai juri, tetapi belum tentu membuatkan penonton mahu mengundi.
Begitu juga sebaliknya. Persembahan yang viral tidak semestinya mempunyai kekuatan muzik yang sama di mata profesional.
Justeru, Aina memerlukan lagu yang boleh melakukan kedua-duanya, meyakinkan juri dan pada masa sama membuatkan orang ramai mahu mengundinya.
7. Tekanan Menjadi Wakil Malaysia Dalam Edisi Pertama
Cabaran terakhir mungkin tidak mempunyai kaitan langsung dengan muzik. Aina akan membawa nama Malaysia dalam edisi pertama Eurovision Song Contest Asia.
Penganjur rasmi Eurovision mengesahkan pertandingan ini merupakan peluasan berbilang negara pertama jenama Eurovision ke Asia, dengan Bangkok dipilih menjadi tuan rumah edisi sulung.
Ini bermakna apa sahaja keputusan yang diperoleh Malaysia nanti akan menjadi sebahagian daripada sejarah awal negara dalam pertandingan tersebut.
Aina bagaimanapun mempunyai pengalaman. Eurovision bukan kali pertama dia membawa nama negara ke pentas antarabangsa. Sebelum ini, dia sudah mewakili Malaysia di ABU TV Song Festival 2023 di Seoul.
Bezanya kali ini cukup besar. Di Seoul dia datang untuk membuat persembahan. Di Bangkok, dia datang untuk bertanding.
Di atas kertas, Aina Abdul mempunyai hampir semua elemen yang diperlukan untuk pentas seperti Eurovision, vokal, kreativiti, fesyen, keberanian bereksperimentasi dan keupayaan menghasilkan persembahan yang menjadi buah mulut.
Tetapi Eurovision Asia bakal menguji sesuatu yang lebih besar. Bolehkah identiti Aina Abdul yang begitu kuat di Malaysia diterjemahkan menjadi persembahan yang turut difahami, diingati dan disukai seluruh Asia?
Jawapannya akan diketahui apabila Eurovision Song Contest Asia membuka tirainya di Bangkok pada 14 November 2026.
Sumber: Eurovision, TaT news, Eurovix, XTRA