Penyanyi popular, Aina Abdul meluahkan rasa syukur apabila meraih pencalonan terbanyak iaitu 9 pencalonan dalam lapan kategori di Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24).

Artikel Berkaitan: Aina Abdul Taruh Harapan Menang Trofi, Berlapang Dada Tak Tercalon Kategori Utama AME

Artikel Berkaitan: Aina Abdul Belum Sedia Bawa Genre Irama Tradisional – ‘Saya Berhati-Hati Hasilkan Karya Yang Sesuai’

Gembira

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Nurul Aina Abdul Ghani tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira walaupun ini adalah kali pertama dia menyertai AIM24 yang bakal diadakan pada 13 September depan.

Saya terkejut kerana ini adalah pencalonan pertama saya dan saya rasa macam rasa kelu dan terharu sebab kita hantar pernyertaan hampir semua kategori kita hantar yang mana nak sangkut tu kita berserah pada Allah.

Mana yang dapat dan mana yang tidak dapat tidak mengapa.

Aina berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media Pengumuman Pencalonan Akhir atau Top 5 AIM24.

Difahamkan, Aina tercalon dalam carta Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Runut Bunyi Terbaik, Kolaborasi Bersama Artis Luar Negara Terbaik, Album Terbaik, Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik.

Dah lama mahu

Mengulas lebih lanjut, Aina berkata dia sudah lama mengimpikan anugerah ikonik itu.

Saya memang dah lama mengimpikan, saya nak rasa sebenarnya pegang award tu juga sebab apabila saya kerja dengan sifu saya contoh abang Ajai, saya nampak banyak trofi anugerah AIM.

Jadi saya rasa anugerah ini sangat ikonik terutamanya kepada penulis lagu, orang-orang belakang tabir jadi saya sangat gembira, alhamdulillah.

Selain daripada Aina, Dayang Nurfaizah dan Ernie Zakri juga antara dua lagi penyanyi yang tercalon dalam sembilan pencalonan.

Dalam pada itu, Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim berkata pemarkahan akan diserahkan kepada juruaudit bebas untuk membuat perkiraan markah.

Proses penjurian itu akan ditadbir oleh sebuah badan bebas iaitu Macomm Management Services Sdn Bhd.

Apa yang dipersembahkan hari ini adalah senarai calon Top 5 yang memperoleh markah tertinggi.

Pada 13 September nanti, akan diumumkan siapakah yang mendapat markah tertinggi dan dinobatkan sebagai pemenang AIM24.

AIM24 akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada 13 September nanti selain ditayangkan di saluran TV2 dan RTMKlik.