berita

Air Bertakung Depan Rumah Bongkar Penemuan Mayat Warga Emas

June 20th, 2022 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Pelik melihat air paip dari dalam rumah jiran mengalir sehingga bertakung di depan rumah, seorang lelaki yang dikenali sebagai Mohd Rozlan Deraman menemui mayat jirannya yang membengkak, hari ini.

Tidak tunjuk perbuatan pelik

Menerusi laporan Harian Metro, mayat Anuar Yusof, ditemukan dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumah di Kampung Lubuk Panjang Bukit Besi, jam 8.30 pagi. Ujar Rozlan, kali terakhir dia menemui mangsa pada pagi khamis lalu ketika mangsa minum di kedainya.

Dia memang tinggal bersendirian di rumah itu. Pagi khamis itu dia datang minum dan seperti biasa, arwah akan bergurau dengan saya dan penduduk kampung serta tidak menunjukkan perbuatan pelik. Pada hari sama kira-kira jam 7 malam, saya ada mendengar dua kali mangsa menjerit dan saya tidak ambil pusing dan menganggap mungkin kerana mangsa bosan.

Bercerita lebih lanjut, Rozlan memberitahu dia ternampak mangsa keluar dari rumah dengan menunggang motosikal.

Sejak dari itu, saya tidak lagi melihat dia dan ketiadaan mangsa sepanjang tiga hari menimbulkan rungutan daripada kawannya. Pada Sabtu, saya dan pelanggan kedai terhidu bau busuk dan kami semua sangka bau itu adalah sampah atau bangkai binatang di kawasan semak.

Mangsa sudah meninggal dunia

Jelas Rozlan, pagi ini dia mengambil keputusan memeriksa di sekitar kawasan kedai sebelum mendapati air mengalir begitu banyak dari rumah mangsa.

Saya ingat mangsa lupa menutup paip dan saya bersama rakan, Mohd Redzuan Mohd Zain, 44, pergi ke rumahnya. Selepas sahutan tidak dijawab, kami mengintai di celah tingkap sebelum mendapati mangsa sudah meninggal dunia. Saya buka pintu depan rumahnya yang tidak berkunci dan ketika itu kami dapati bau mayat sangat kuat sebelum segera menghubungi polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah memaklumkan siasatan mendapati mangsa yang bekerja sebagai buruh di kilang kayu di Bukit Besi dipercayai meninggal sejak beberapa hari lalu.

Keluarga mangsa sudah dihubungi dan mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. Siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: Harian Metro

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×