Penyanyi, Aisha Retno meluahkan rasa teruja dan bersyukur kerana bakal menganjurkan konsert ‘The Aisha Experience’ bertempat di JioSpace, Petaling Jaya 20 September ini.

Artikel Berkaitan: Aisha Retno Bersedia Bersemuka Dengan Yuka Kharisma – ‘Saya Tunggu Kata Maaf & Sedia Beri Kata Maaf’

Masih trauma dengan kejadian tahun lalu

Dalam masa yang sama, pemilik nama Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam mengakui dirinya masih trauma dengan kejadian yang menimpanya pada tahun lalu.

Susulan itu, pelantun lagu ‘Sutera’ ini berfikir panjang sebelum menyatakan persetujuan kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Masa mula-mula dapat tawaran ini dari pihak LOL Asia, saya sendiri ragu-ragu sebab mampukah saya dari segi fizikal dan mental. Saya juga terkesan dengan tragedi dahulu.

Mana-mana sesi temubual kalau ada soalan ini saya akan teringat, trauma sebenarnya tapi kerana saya sangat mempercayai LOL Asia dan pasukan saya, saya akhirnya bersetuju namun perlu mengambil masa agak lama sebelum membuat keputusan.

Orang disekeliling saya menjadi saksi di mana saya rasa sangat berbelah bahagi untuk menerima tawaran showcase ini.

Berbulan-bulan juga baharu saya bagi jawapan.

Aisha berkongsi perkara tersebut ketika ditemui OhBulan! pada sesi sidang media pelancaran album berjudul Rehab dan pengumuman konsert showcase tersebut di Hyatt Centric Hotel, Kuala Lumpur pada Khamis.

Dapat sokongan padu keluarga & peminat

Ketika ditanya dari mana datangnya sumber kekuatan untuk mengadakan konsert showcase ini, Aisha memaklumkan dia mendapat sokongan yang sangat padu daripada keluarga dan peminat sekaligus menjadi pembakar semangat buatnya.

Saya banyak dapat semangat dari keluarga, kawan-kawan dan media jadi dari situ saya rasa ramai sahaja yang menyokong saya.

Memang saya terkesan dengan kata-kata netizen tapi sampai bila? Jadi lebih baik kita terus jalan sebab peminat saya dah sokong saya lebih lima tahun tak kan saya nak hampakan mereka dengan terus menyerah kalah.

Untuk rekod, Aisha pernah berdepan dengan kontroversi apabila ‘Konsert Malam Sutera Aisha Retno’ yang sepatutnya dijadualkan berlangsung 16 November tahun dibatalkan penganjur, Kharisma Music International.

Menurut penyanyi Yuka Kharisma selaku penaung syarikat berkenaan, konsert itu dibatalkan atas faktor jualan tiket yang tidak memberangsangkan.

Bukan itu sahaja, Yuka juga menuntut Aisha membayar semula wang sebanyak RM83,000 yang dipinjamkan bagi merealisasikan persembahan ketika AJL38, Mac tahun lalu.

Susulan pembatalan, Aisha meluahkan rasa kesal dengan tindakan penganjur yang didakwa membuat keputusan mengejut tanpa memaklumkan kepada dirinya terlebih dahulu.