Sesudah mencuri perhatian dengan lagu Samudera baru-baru ini, penyanyi Aisha Retno muncul pula dengan single terbaharu berjudul Terbang.
Artikel Berkaitan: Konsert Sulung Aisha Retno Dibatalkan Seminggu Sebelum Berlangsung, Penganjur Dedah Jualan Tiket Tidak Laku
Terbang
Meskipun baru dilancarkan, lagu Terbang sebenarnya sudah dihasilkan Aisha sejak tahun lalu dan hanya disimpan sebelum ini. Kata pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, ini adalah masa yang sesuai untuk dia menghadiahkan buah tangan terbaharu itu kepada peminat.
Saya tulis lagu ini dalam masa beberapa jam dan ia siap dihasilkan bulan Julai tahun lalu, saya simpan dulu dan mencari masa yang sesuai untuk dilancarkan. Bukan apa, sebelum ini saya sibuk dengan pelbagai komitmen kerja yang lain, eloklah saya fokus satu per satu.
Sepanjang bergelar penyanyi, inilah lagu yang paling lama saya ‘peram’, dan itu menjadi keistimewaan yang tersendiri untuk saya. “Selain itu, perkara lain yang saya suka tentang lagu ini, liriknya ditulis dalam dua bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Inggeris.
Sebelum ini saya tak pernah menulis lagu bercampur dua bahasa yang ketara seperti ini, sekadar sikit-sikit itu adalah,” katanya.
Menyentuh tentang kisah lagu Terbang, ia bukanlah terikat tentang insan yang dicintai semata-mata, sebaliknya lebih mendalam daripada itu.
Lagu ini adalah tentang insan tercinta dan pada masa sama, ia juga memberi motivasi kepada saya untuk terus maju dan ‘terbang’ ke hadapan walaupun banyak dugaan dan cabaran yang saya lalui sepanjang tahun ini.
Kembangkan profil
Meskipun ramai yang menganggap Aisha sinonim dengan lagu-lagu pop etnik, itu tidak menghalang dia untuk mengembangkan profil muzik dengan mencuba genre
berbeza.
Tak dinafikan lagu-lagu pop etnik saya lebih mendapat perhatian, namun saya harap lagu bergenre R&B dan Pop Jazz seperti lagu Terbang ini juga mendapat sambutan yang positif. Saya tak ada banyak lagu tentang jatuh cinta, sebelum ini saya pernah muncul dengan lagu Mengikat Jiwa serta Wanna Hold U Tight (W.H.U.T) yang sempat tular di Indonesia. Kini, lagu Terbang saya anggap mempunyai kesinambungan dengan dua lagu berkenaan.
Pun begitu, Aisha akan tetap menghasilkan lagu-lagu pop etnik pada masa akan datang kerana dia sendiri mempunyai minat yang mendalam. Cuma sebagai penyanyi, Aisha tentunya ingin membuat kepelbagaian dalam koleksi lagu dendangannya. Insya-Allah, saya masih akan teruskan dengan genre etnik Nusantara sebab saya memang suka, cuma pada masa sama, saya mahu hasilkan lagu-lagu genre sampingan kerana saya juga menyukai R&B dan Pop selama ini.
Mungkin lagu Terbang boleh menggamit kembali memori para pendengar terhadap lagu W.H.U.T yang menonjolkan genre sama beberapa tahun lalu. Saya harap dengan kepelbagaian genre muzik yang saya bawakan, ia boleh menarik minat ramai audiens di luar sana. Berkenaan video muzik (official visualiser) pula, ianya agak ringkas namun tidak mengetepikan aspek kesenian. Kata Aisha, video muzik tersebut dihasilkan hanya dalam tempoh kurang 24 jam.
Untuk lagu kali ini, penghasilan visualiser dilakukan sekejap saja kerana fokus utama saya adalah lebih tertumpu pada aspek penyampian dan kisah lagu berbanding
paparan visual. Kalau anda lihat, konsepnya agak santai namun masih ada nilai-nilai artistik seperti tarian kontemporari yang saya lakukan bersama guru tari berbakat, Faris Azim.Faris merupakan salah seorang koreografer yang terbaik di Malaysia, beliau sudahpun membawa nama negara ke California, Amerika Syarikat sebelum ini. Saya sangat berpuas hati dengan hasil kerjanya, proses latihan kami pun tak lama, hanya lebih kurang satu jam kemudian terus buat rakaman video. Bagi saya, tarian kontemporari yang dipaparkan dalam video muzik ini mempunyai maksud yang cukup mendalam.
Faris betul-betul faham tentang maksud dan kisah lagu ini, sebab itulah beliau dapat mempersembahkannya dalam bentuk tarian yang penuh berseni.
Menjawab pertanyaan lain tentang pelbagai dugaan yang dilaluinya sepanjang tahun 2024, Aisha akui dia perlu menempuh kehidupan dengan tenang dan rasional.
Apa pun yang datang dalam kehidupan saya, tidak kira berita baik atau tidak, saya jalankan saja dengan sebaik mungkin. Apa pun yang terjadi, saya perlu terus berjalan ke hadapan.
Saya harap lagu Terbang ini dapat menjadi penutup yang manis untuk tahun ini. Saya zahirkan apa yang terjadi kepada saya sepanjang tahun ini dalam lagu ini, saya perlu terus menyangi diri sendiri serta insan-insan di sekeliling saya seperti keluarga dan peminat yang tidak henti menyokong selama ini.
Semoga kita semua dikurniakan kebaikan dalam tahun baru yang akan tiba tidak lama lagi.