
Pelakon dan pempengaruh, Aizat Saha serta bintang remaja, Odda atau Auddra Zulkifli antara figura hiburan yang mencuri perhatian apabila tampil bersama beberapa personaliti tempatan dalam pertemuan #TeamMerdekaKL di Batu KM 0, Dataran Merdeka, baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN: 69 Tahun Merdeka, Apa Yang Membuatkan Sesebuah Lagu Kedengaran ‘Bunyi Malaysia’?
ARTIKEL BERKAITAN: Imranul Effendy Seru Rakyat Hayati Erti Kemerdekaan – ‘Merdeka Bukan Sekadar Cuti Umum’
Hidupkan Semangat Hari Kebangsaan
Turut serta memeriahkan pertemuan tersebut ialah Sharifah Shahirah, Mal Hamka dan Amanda Amry, selain tokoh politik, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz serta beberapa lagi pempengaruh dan personaliti.
Menariknya, pertemuan berkenaan berlangsung dalam suasana cukup santai tanpa pentas besar atau protokol rasmi, sebaliknya masing-masing hadir dengan satu tujuan sama iaitu meraikan rasa cinta terhadap Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Sekitar jam 8.00 hingga 9.00 pagi, mereka berkumpul dengan mengenakan pakaian kebangsaan dan busana tradisional, sekali gus menceriakan suasana sekitar kawasan bersejarah Dataran Merdeka.
Apa yang lebih menarik, sebahagian daripada mereka dikatakan tidak pernah mengenali antara satu sama lain sebelum ini.
Namun sebaik bertemu, tiada jurang antara selebriti, pempengaruh mahupun orang ramai apabila masing-masing bebas bertegur sapa, bergambar dan menikmati suasana pagi bersama.

Pemilihan Batu KM 0 sebagai lokasi pertemuan juga mempunyai simbolik tersendiri apabila penanda tersebut membawa maksud titik permulaan sesuatu perjalanan.
Bagi Kuala Lumpur, Kilometer Sifar terletak di kawasan Dataran Merdeka, sekali gus menjadikan lokasi itu cukup signifikan untuk membawa mesej mengenai satu permulaan dan titik persamaan sebagai rakyat Malaysia.
Semarak Semangat Patriotik
Apa yang pada awalnya sekadar ajakan ringkas akhirnya berjaya menghimpunkan individu daripada latar belakang berbeza dalam satu suasana penuh semangat patriotik.
Kemeriahan pagi itu kemudian disempurnakan dengan laungan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” yang bergema bersama-sama.


Momen tersebut turut memperlihatkan sisi lebih santai figura hiburan tempatan apabila mereka memilih untuk meraikan kemerdekaan bukan sekadar menerusi persembahan atau acara rasmi, tetapi dengan turun bersama masyarakat.
Untuk satu pagi, status sebagai pelakon, pempengaruh atau personaliti diketepikan. Semuanya hadir atas satu identiti yang sama, rakyat Malaysia.








