
Penyanyi, Marsha Milan berharap masalah paru-paru yang dihidapinya tidak menjejaskan kualiti vokal dan persembahannya di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) yang bakal berlangsung Ogos depan.
Artikel Berkaitan: Selamanya Berterima Kasih Kepada AJL, Pentas Yang Mengubah Perjalanan Seni Aina Abdul
Artikel Berkaitan : AJL40 Aina Abdul Janji Kelainan, Sedang ‘Prep’ Vokal & Tak Fikir Soal Menang – ‘Saingan Tahun Ini Kuat’
Masalah paru-paru
Marsha, 40, berkata, keadaan kesihatannya kini semakin baik selepas menjalani rawatan, namun dia tetap memberi perhatian serius terhadap tahap kesihatan bagi memastikan dapat memberikan persembahan terbaik.
Saya ada sedikit masalah paru-paru. Saya doa masalah itu tidak mengganggu suara saya, lagi-lagi menjelang AJL.
Saya didiagnosis mengalami masalah paru-paru pada Oktober tahun lalu sehingga Januari tahun ini. Alhamdulillah, sekarang keadaan saya semakin bertambah baik.
Saya perlu menitikberatkan tentang masalah itu. Dulu saya pernah melalui situasi hilang suara ketika membuat persembahan di pentas AJL35.
Saya perlu mempersiapkan diri dalam apa jua situasi. Selebihnya saya serahkan kepada Allah.
Marsha berkata demikian ketika ditemui pada sidang media AJL40: First Look yang berlangsung di St. Regis Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bakal mempertaruhkan lagu Tangisan Seorang Pendosa, Marsha turut berkongsi dia kini lebih peka terhadap penjagaan pemakanan, termasuk mengelak mengambil makanan pedas.
Saya baru sedar yang saya tidak boleh makan makanan pedas sebelum menyanyi. Nanti tekak saya akan berasa sedikit tidak selesa di atas pentas.
Namun, setakat ini saya tidak berpantang apa-apa. Saya masih makan seperti biasa dan menikmati makanan kegemaran saya.
Dalam pada itu, Marsha mengakui memasang impian untuk membawa pulang trofi Vokal Terbaik pada AJL40, namun menyerahkan sepenuhnya soal kemenangan kepada rezeki.
Ini kali pertama saya bertanding sebagai komposer, jadi sudah tentu saya meletakkan harapan yang besar terhadap lagu ini.
Kalau diberikan rezeki untuk memenangi Anugerah Vokal Terbaik, sudah tentu saya akan sangat bersyukur. Apa pun, saya hanya mahu memberikan persembahan yang terbaik untuk semua.
AJL40 bakal berlangsung pada 15 Oktober depan di Unifi Arena, Bukit Jalil dan disiarkan secara langsung di TV3, jam 9 malam.
Anugerah berperestij itu akan dihoskan oleh gandingan pengacara versatil, Nazz Rahman dan Sissy Iman.