Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdulllah Sultan Ahmad Shah berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada 13 banduan di beberapa penjara di Malaysia bersempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-63, baru-baru ini.
Menerusi laporan Harian Metro, salah seorang banduan bersyukur dan gembira dapat pulang ke pangkuan keluarga selepas 20 tahun menjalani hukuman penjara.
Tak sabar melihat dunia luar
Saya mula menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh pada 2000 selama setahun, kemudian dipindahkan ke Penjara Kajang selama 10 tahun dan dihantar pula ke Penjara Pengkalan Chepa selama lapan tahun dan 42 hari di Penjara Kajang sebelum dibebaskan pada 17 Ogos lalu.
Setiap hari saya hanya mampu berdoa kepada Allah SWT supaya dipermudahkan untuk memperoleh pengampunan YDPA kerana tidak sabar melihat dunia luar yang ditinggalkan sejak dua dekad lalu, selain mahu menjaga ibu uzur. Alhamdulillah, akhirnya doa saya dan ibu diperkenankan dan saban tahun saya amat menantikan saat untuk dibebaskan.
Menurut banduan yang dikenali sebagai Ahmad, dia dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat sejak tahun 2000 kerana melancarkan perang terhadap Agong sewaktu menyertai Pertubuhan Al-Ma’unah. Sepanjang di penjara, dia memberitahu bahawa ibunya tidak pernah berhenti berdoa agar dia dibebaskan suatu hari nanti.
Ahmad yang berasal dari Kampung Pulai Chondong, Machang, Kelantan, turut memberitahu dia tidak sabar melihat dunia luar dan bertemu ibunya yang berada dalam keadaan uzur. Ujarnya lagi, sepanjang berada di penjara dia telah menghantar lima surat pengampunan kepada Agong. Di samping itu, dia turut mempelajari ilmu agama dan memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.
Banyak pelajari Al-Quran
Inilah kebebasan dinantikan selama ini dan kini saya sudah bebas. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, terutama Al Sultan Abdullah kerana memberi perkenan dan ia ibaratkan peluang kedua untuk saya menjadi insan lebih baik.
Ahmad turut terkejut semasa pegawai penjara memberitahu dia mendapat pengampunan Agong. Jelasnya lagi, dia akan menggunakan kemahiran menjahit yang sedia ada untuk membuka kedai jahit selepas ini. Dia juga berjanji akan menguruskan segala keperluan ibunya selepas ini. Ini kerana, sudah 20 tahun dia terlepas peluang untuk berbakti kepada insan tercinta itu.
Sumber: Harian Metro