berita

Akibat Suka Korek Telinga, Doktor Terima Banyak Kes Pesakit Alami Masalah Gegendang Telinga Pecah

July 13th, 2022 | by Amirul Asraf
Kesihatan & Hidup Aktif

Di Twitter, Dr Mohd Shaiful Nizam berkongsi satu kes di mana seorang pesakitnya mengalami masalah gegendang telinga pecah akibat tabiat suka mengorek telinga.

Sakit, kurang dengar dan bunyi berdesing

Foto: Besi kecil dan putik kapas

Menurut Dr Shaiful, pesakitnya datang ke Klinik Pakar (ENT ) Telinga, Hidung dan Tekak selepas hari raya Aidiladha baru-baru ini. Difahamkan, pesakit tersebut mengadu sakit di sebelah telinga kiri dan mengalami masalah kurang pendengaran. Bukan itu sahaja, pesakit tersebut turut mendengar bunyi berdesing. Tambah Dr Shaiful, kesemua gejala ini terjadi sebaik sahaja pesakitnya mengorek tahi telinga menggunakan besi kecil dan putik kapas. Ujar Dr Shaiful lagi, tabiat korek telinga sudah agak lama dilakukan oleh pesakitnya sendiri.

Berikutan daripada kes tersebut, Dr Shaiful menjelaskan bahawa tahi telinga tidak perlu dikorek. Ini kerana, ia sudah mempunyai mekanisma tersendiri tanpa kita sedar melalui kunyahan mulut, pergerakan rahang dan pertumbuhan kulit dalam telinga yang akan menolak keluar.

Tahi telinga ada fungsi

Di samping itu, Dr Shaiful turut memberitahu fungsi tahi telinga. Ujarnya, tahi telinga bersifat kalis air. Ianya mampu mencegah air dari meresap masuk ke salur telinga. Seterusnya, ia bersifat anti-bakteria untuk melindungi telinga daripada jangkitan dan pembiakan bakteria serta kulat. Bukan itu sahaja, tahi telinga bersifat asid untuk lembabkan kulit halus sekitar saluran telinga. Menghalang kemasukan serangga-serangga kecil seperti semut, lalat dan nyamuk juga antara fungsi tahI telinga. Terakhir, tahi telinga mengeluarkan kotoran dan habuk dalam saluran telinga. Justeru itu, doktor pakar ENT akan melarang pesakit mereka untuk mengorek telinga.

Boleh mengakibatkan masalah pendengaran

Kata Dr Shaiful lagi, apabila tahi telinga sentiasa dikorek, secara tidak langsung akan menyebabkan ia tertolak ke bahagian tengah saluran telinga seterusnya akan berkumpul dan tersumbat. Keadaan ini boleh mengakibatkan masalah pendengaran seperti berdesing dan kurang dengar.

Di akhir tweet, Dr Shaiful memberi penerangan mengenai cara yang sepatutnya dilakukan oleh pesakit sekiranya tahi telinga banyak dan rasa tersumbat. Jelasnya, ubat titis telinga merupakan ubat yang berksan untuk melembutkan tahi telinga yang keras. Jikalau masih lagi rasa tersumbat dan bergejala, Dr Shaiful menasihati supaya segera mendapatkan pemeriksaan Pakar ENT.

Sumber: Dr Shaiful

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×