Denda maksimun RM2,000 jika disabit kesalahan kepada sesiapa yang menjaja makanan dan minuman dari kereta ke kereta berhampiran lampu-lampu isyarat sekitar jalan raya di Kelantan. Mereka yang didapati bersalah akan dikenakan saman mengikut Kaedah 10A LN 166/59.
Mengganggu aliran trafik dan membahayakan
Menerusi Astro Awani, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata mereka yang melakukan aktiviti jual beli makanan di tengah-tengah jalan boleh mengganggu aliran trafik dan membahayakan keselamatan penjaja dan pembeli.
Mana-mana jalan raya dan lampu isyarat di negeri ini bukan tempat menjaja dan tindakan saman boleh dikenakan kerana menganggu kelancaran trafik serta menghalang lalu-lintas.
Penjaja yang jual makanan itu boleh disaman, pengguna jalan raya yang membeli makanan pun boleh disaman.
Hentikan aktiviti jualan tersebut
Tambahnya, beliau meminta agar mereka yang mencari rezeki dengan akiviti tersebut perlu dihentikan dan patuh pada undang-undang yang telah ditetapkan.
Kita tidak boleh ikut cara di negara lain seperti Indonesia yang menjaja merata-rata di jalanan kerana negara ini ada peraturannya sendiri. Perbuatan ini juga menganiaya pengguna jalan raya lain yang tidak terlibat dengan urusan tersebut kerana terpaksa menunggu jual beli selesai apabila lampu trafik hijau.
Kami tidak halang orang ramai, khususnya anak muda yang hendak mencari rezeki, tetapi biarlah rezeki yang dibawa balik itu, ‘manis’ dan bukannya hasil daripada aktiviti bertentangan dengan peraturan.
Sumber: Astro Awani