berita

Al-Jufferi Ikon Sukan Terbaik AISHM

January 9th, 2023 | by Zulaikha
Kini Trending

Jaguh silat negara, Mohd Al-Jufferi Jumari dinobatkan sebagai Ikon Sukan Terbaik pada majlis Anugerah Ikon Sukan Harian Metro (AISHM) yang diadakan pada Ahad.

Artikel Berkaitan: Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro Rai Atlet Negara, Beri Inspirasi Kepada Generasi Muda

Barisan pemenang AISHM

Acara itu disiarkan secara langsung di TV9 dan Youtube TV9 dari Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

Bukan itu sahaja, Al-Jufferi yang secara rasmi bersara dari pentas silat turut meraih kemenangan bagi kategori Anugerah Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru.

Menerusi kemenangan itu, Al-Jufferi membawa pulang sebuah kereta elektrik jenama Appollen A1 (hatchback 5 pintu) bernilai RM136,000, wang tunai RM5,000, sebuah trofi dan langganan percuma akhbar digital HM selama setahun.

Terima kasih kepada Harian Metro dan juga penaja-penaja yang ada kerana menghargai pengorbanan saya selama 15 tahun di dalam arena sukan silat.

Saya bukan sekadar atlet untuk memenangi pingat emas akan tetapi saya nak angkat martabat silat ini ke persada dunia.

Olimpian wanita negara iaitu Nur Dhabitah Sabri memenangi bagi kategori Anugerah Ikon Sukan Wanita Gardenia Breakthru.

Bagi kategori lain, Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dinobatkan sebagai Ikon Sukan Pempengaruh manakala bagi kategori Ikon Sukan Jurulatih dimenangi oleh Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek.

Johor Darul Ta’zim (JDT) diangkat sebagai pemenang anugerah Ikon Sukan Persatuan/Kelab terbaik sementara, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dinobatkan sebagai pemenang anugerah Ikon Sukan Kepimpinan.

Selain itu, atlet menembak negara Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin dinobatkan sebagai Ikon Sukan Harapan dan bagi anugerah Ikon Sukan Paralimpik, kategori itu dimenangi atlet paralimpik badminton negara, Cheah Liek Hou.

Bekas atlet tenpin boling negara, Shalin Zulkifli dinobatkan sebagai penerima kategori Khas, Anugerah Ikon Sukan Legenda selepas menyumbang bakti dalam sukan tenpin boling hampir 30 tahun.

Kesemua pemenang sembilan kategori AIS yang dipertandingkan itu membawa pulang sebuah trofi, wang tunai RM5,000 dan langganan e-paper Harian Metro selama setahun.

AISHM buat julung kalinya dianjurkan memberi pengiktirafan kepada atlet, paralimpik dan penggiat industri sukan, termasuk kelab dan persatuan sukan atas kejayaan serta kecemerlangan mereka dalam kejohanan di dalam negara dan antarabangsa.

Pemenang daripada lima Top 5 dinilai menerusi 50 peratus markah juri profesional dan 50 peratus undian peminat.

Pada malam kemuncak AISHM itu, Fahrin Ahmad dan Che Puan Sarimah Ibrahim bergandingan menjadi pengacara.

Meerqeen, Siti Khadijah Halim, Nadhir Nasar, Marsha Milan dan Erra Fazira antara barisan selebriti yang menjadi penyampai pada malam kemuncak itu.

Hariz Fayahet, Bunga, Dolla, Aina Abdul, Akim Ahmad dan Amir Masdi pula menjadi penyeri dengan melakukan persembahan bagi memeriahkan lagi acara tersebut.

Sumber: Instagram Harian Metro

SKIP THIS AD ×