Seorang ibu muda dijatuhi hukuman penjara selama 50 tahun selepas dia didakwa atas pertuduhan membunuh selepas mengalami keguguran di dalam tandas.
Ibu muda dipenjara 50 tahun
Memetik laporan Daily Star, suspek yang dikenali dengan nama Lesly Lisbeth Ramirez dipercayai mengalami keguguran di dalam tandas pada 17 Jun 2020 yang lalu. Suspek mendakwa dia tidak menyedari dirinya mengalami keguguran sehinggalah bayi perempuannya terjatuh ke dalam mangkuk tandas sebelum disahkan meninggal dunia.
Mahkamah menuduh suspek yang berusia 21 tahun ini telah ‘mengambil nyawa bayinya yang baru lahir dengan mencederakannya menggunakan pisau di leher’. Inkues koroner memaklumkan bahawa punca kematian bayi tersebut disebabkan kecederaan di kerongkong berpunca daripada objek tajam.
Hanya 10 hari selepas keguguran, suspek diarahkan menghadiri perbicaraan pertamanya, namun tidak dapat berbuat demikian kerana masih dalam rawatan. Walaupun tidak hadir, hakim tetap memerintahkan supaya suspek ditahan. Selepas dibicarakan, wanita itu didapati bersalah kerana membunuh dan dijatuhi hukuman penjara selama 50 tahun.
Menurut kumpulan hak asasi manusia, ia adalah kali pertama hukuman maksimum dilaksanakan sejak pengguguran diklasifikasikan sebagai jenayah di negara tersebut pada 1998.
Sumber: Daily Star