
Selebriti versatil, Alif Satar bakal menganjurkan satu majlis agama yang diberi nama ‘Qiyam Macam Jumaat’ pada Sabtu ini sebagai inisiatif untuk memberikan kesedaran mengenai peperangan yang berlaku di Gaza, Palestin.
Artikel Berkaitan: Alif Satar Dedah Penyebab Anjur Gerakan Solat Subuh Macam Solat Jumaat – ‘Macam Mana Nak Lawan Zionis ..’
Nak ‘suntik’ kesedaran tentang Palestin
Ketika ditemui OhBulan!, Alif atau nama lengkapnya Muhammad Alif Mohd Satar berkata, program itu dibuat selepas dipelawa rakan selebriti, Faizal Tahir yang berhasrat untuk menganjurkan program untuk mendoakan rakyat di Palestin.
Hari Sabtu ini, saya nak buat program Qiyam Macam Jumaat di Masjid Al-Falah USJ 9.
Ianya bermula apabila Faizal Tahir telefon saya selepas saudara Islam di sana secara tiba-tiba diserang Israel selepas gencatan senjata.
Mungkin ramai yang dah selesa dan terlupa masih ada umat Islam yang dibunuh dan ditindas. Saya nak kejut balik kempen ni.
Jadi, pada 22 Mac ini, saya nak jemput semua orang datang.
Kita akan solat tarawih kemudian ada tazkirah, aktiviti seperti solat tahajud dan solat-solat hajat untuk orang dekat Palestin dan ada moreh masjid sediakan.
Alif berkongsi perkara tersebut ketika pelancaran kempen raya Hong Leong Bank di mana dia bertindak sebagai duta syarikat kewangan berkenaan bertempat di Sofitel Kuala Lumpur, Damansara pada Khamis.
Ketika ditanya mengenai kempen Subuh Macam Jumaat yang dianjurkannya sebelum, pelantun lagu ‘Cukup Indah’ ini meluahkan rasa syukur kerana program tersebut masih berjalan di setiap negeri di Malaysia.
Subuh Macam Jumaat bukan beban kerana ia bukanlah jenama saya.
Kempen ini bukan hanya sekali sahaja. Saya juga berbangga apabila semakin ramai anak muda sertai.
Malah ada yang melakukan kempen sama di tempat-tempat mereka sendiri. Tak perlu ada saya pun.
Walaupun saya tiada, masjid masih ada. Dorang buat Geng Subuh Macam Jumaat ramai juga yang datang.