Pelawak dan pelakon, Along Cham sedang mempertimbangkan langkah untuk membuat laporan polis terhadap bekas isterinya, Afreena Suhaimi, berhubung kehilangan wang simpanan miliknya.

Artikel Berkaitan: ‘Saya Gagal Didik Isteri, Kemudi Rumah Tangga’ – Along Enggan Lagi Berhubung Dengan Afreena

Tuntut hak

Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, berkata, prosiding pengesahan perceraian yang berlangsung pada Selasa membuka peluang untuknya menuntut semula hak yang pernah dinafikan.

Sebelum ini, saya ada buat laporan kehilangan duit hampir RM12,000 ketika ditahan di Penjara Sungai Buloh. Tapi masa itu, pihak Timbalan Pendakwa Raya maklumkan kami masih suami isteri, jadi dia berhak ambil duit itu.

Kes ditutup sebagai NFA (tiada tindakan lanjut). Tapi sekarang talak sah jatuh sejak Jun tahun lalu, jadi saya mungkin boleh buka semula laporan.

Along berkata demikian sejurus selesai prosiding pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Selasa.

Jelas Along lagi, perceraian yang sudah sah memberi sedikit kelegaan kerana membolehkannya menuntut kembali apa yang dianggap haknya.

Pada Januari lalu, Along pernah mendakwa Afreena menyeleweng wang sumbangan orang ramai berjumlah hampir RM100,000, yang sepatutnya digunakan untuk membantunya ketika ditahan atas dakwaan memiliki dadah.

Dakwaan itu timbul sehari selepas Mahkamah Sesyen Sepang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Along daripada pertuduhan pemilikan dadah yang disyaki kanabis.

Bagaimanapun, Afreena membalas dengan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, mendakwa dirinya pula menjadi mangsa penipuan seorang wanita dikenali sebagai Ika.