berita

Amalan Beri Duit Raya Harus, Tiada Kaitan Dengan Angpau Tahun Baru Cina

April 25th, 2023 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Gambar sekadar hiasan

Amalan memberikan duit Hari Raya Aidilfitri menjadi bualan dalam kalangan masyarakat selepas perbuatan ini dikatakan terdapatnya unsur tasyabbuh iaitu meniru amalan agama lain seperti yang dilakukan kaum Cina yang memberi ang pow ketika Tahun Baru Cina.

Hukum memberikan duit raya

Gambar sekadar hiasan

Menerusi laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pihak mereka memberi pandangan bahawa tiada unsur tasyabbuh di dalam konsep pemberian duit raya. Ini kerana, pemberian duit raya pada asasnya boleh dikategorikan sebagai sedekah yang sunat hukumnya di sisi Islam. Justeru, tidak timbul isu tasyabbuh di sini.

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan bahawa pemberian duit raya kepada ibu bapa, kanak-kanak serta sanak-saudara yang lain sewaktu hari raya pertama boleh dianggap sebagai satu perbuatan sedekah di dalam Islam.

Ini kerana, perbuatan sedekah terhadap ibu bapa tergolong sebagai salah satu ibadah yang sangat menguntungkan di mana ia boleh menghasilkan tiga bentuk pahala amalan soleh iaitu birrul walidain (berbuat baik kepada dua ibubapa), mengeratkan silaturahim, serta pahala bersedekah itu sendiri.

Demikianlah juga jika ia diberikan kepada kaum kerabat, sanak saudara dan umpamanya. Ia turut mendapat dua pahala iaitu pahala bersedekah dan juga pahala menghubungkan silaturahim. Sebagaimana yang dikatakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d bin Abi Waqqas R.A bahawa Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

Sesungguhnya kamu tidaklah membelanjakan nafkah yang kamu harapkan redha Allah dengannya (nafkah tersebut) melainkan kamu akan diberikan ganjaran ke atasnya, sekalipun jua nafkah yang kamu jadikannya di dalam mulut isteri kamu.

Kesimpulannya, hukum pemberian duit raya yang dilakukan bukan sahaja kepada ahli keluarga, malah kepada jiran tetangga yang berkunjung ke rumah pada 1 Syawal adalah harus. Ini juga bertetapan dengan usaha menzahirkan syiar Islam iaitu mengekalkan kesejahteraan serta kegembiraan sesama manusia dengan cara memberi dan menerima sedekah, mengeratkan silaturahim, serta budaya kunjung mengunjung.

Diharapkan dengan perkongsian ini dapat menjawab segala kemusykilan yang bermain di minda semua.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

SKIP THIS AD ×