Pelakon Amar Asyraf kini lebih selesa bergelar usahawan berbanding terus bergiat aktif dalam dunia lakonan, kerana baginya bidang perniagaan memberi ruang lebih luas untuk berkembang maju.

Artikel Berkaitan: Amar Asyraf Kongsi Swafoto Bersama Anak Ketiga- ‘Terima Kasih Mummy’

Artikel Berkaitan: Saya Biarkan Diri Digoda Syaitan – Sertai Jemaah Dakwah, Amar Asyraf Mahu Berubah

Bukan merajuk

Amar atau nama lengkapnya Amar Asyraf, 37, berkata, dia kurang minat untuk berada di kerusi pengarah malah telah berniat lama untuk meninggalkan dunia seni demi memberi fokus kepada perniagaannya.

Memang gaji jadi pengarah ni besar tapi bayarannya lambat. Selalunya bayaran akhir selepas tiga bulan drama kita ditayangkan. Pada saya lebih baik hidup jadi usahawan, duit masuk hari-hari.

Dah lima tahun saya tinggalkan dunia lakonan. Bukan merajuk, tapi saya nak tumpukan sepenuh perhatian dalam dunia perniagaan minyak wangi yang saya usahakan bersama isteri. Saya tinggalkan dunia lakonan sebab saya nak fokus sepenuhnya pada bidang perniagaan.

Menurut pelakon yang terkenal menerusi drama Setia Hujung Nyawa itu, dia mengambil keputusan tersebut adalah berdasarkan pengalaman sebelum ini yang telah menjejaskan perniagaan akibat tidak memberi perhatian sepenuhnya.

Sebelum ini saya pernah meniaga sambal dan macam-macam lagi. Malah bisnes saya` jahanam’ dan saya bankrup sewaktu Covid-19. Saya jatuh terduduk, kereta habis terjual disebabkan saya sibuk berlakon dan dalam waktu yang sama meniaga tanpa fokus. Bila bisnes diabaikan semuanya hancur.

Itu sebabnya saya nak tumpukan sepenuh perhatian pada dunia perniagaan yang saya usahakan. Pengalaman lalu banyak ajar saya, kalau nak buat satu-satu perkara tumpu sepenuhnya perhatian dan bukan buat dua kerja dalam satu waktu yang sama, memang huru-haralah hidup saya sebelum ini.

Dulu berlakon saya boleh dapat gaji sehingga RM30,000 sebulan. Namun saya tak tahu duit itu pergi ke mana. Kini, walaupun gaji saya lagi kurang daripada apa saya dapat ketika berlakon, lebih kurang RM6,000 sebulan namun saya rasa cukup. Saya rasa bila berniaga, kini rezeki saya lebih berkat.

Fokus perniagaan

Dalam pada itu, Amar yang juga pemilik jenama House of Amar yang beroperasi di Shah Alam dalam perancangan untuk menganjurkan ‘Festival Aroma Kita’. Ia adalah sebuah festival bergerak pertama yang memfokuskan sepenuhnya kepada jenama-jenama wangian tempatan.

Festival ini saya harap bakal mencatat sejarah sebagai penanda aras baharu dalam landskap gaya hidup negara.

Nak berjaya, jangan tunggu orang datang jumpa kita. Sebaliknya kita yang harus turun padang untuk mendekati mereka. Itu sebabnya saya anjurkan karnival bergerak sebegini. Kalau berjaya lepas ini mungkin kami akan bergerak ke arah selatan dan pantai timur pula.

Inspirasi untuk festival ini tercetus daripada pemerhatian saya terhadap ketiadaan acara khusus yang benar-benar mengangkat industri minyak wangi tempatan ke arus perdana.

Untuk info, ‘Festival Aroma Kita’ bakal menghimpunkan lebih 14 pengusaha minyak wangi tempatan di Debob Event Space, PERDA, Pulau Pinang pada 30- 31 Ogos ini. Karnival ini akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 6 petang.