
Usia bukan penghalang untuk berjaya. Seorang individu meluahkan rasa syukur apabila akhirnya berjaya memperoleh sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada usia 26 tahun.
Artikel Berkaitan: ‘Maafkan Anakmu Yang B*d*h Ini’ – Pelajar SPM Kecewa Raih Keputusan 4D 2E, Netizen Tampil Beri Semangat
SPM persendirian

Menerusi perkongsian di Threads, individu tersebut memaklumkan dia menduduki SPM sebagai calon persendirian dan mengakui berasa sebak apabila segala usaha yang dilakukan akhirnya membuahkan hasil.
SPM persendirian, umur 26 baru nak ambil SPM. Alhamdulillah, sebak rasa sebab ‘struggle’ sangat belajar sambil bekerja.
Lebih membanggakan, individu berkenaan turut berkongsi keputusan cemerlang apabila memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran yang diambil.
Antara subjek yang diduduki ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik dan Sains.
Meninjau ke ruangan balas, rata-rata wargamaya memberikan kata-kata semangat serta menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti bahawa tidak pernah terlambat untuk menyambung pelajaran, termasuk menduduki SPM sebagai calon persendirian.
Untuk info, SPM persendirian merupakan peperiksaan yang dikhususkan kepada individu yang tidak pernah menduduki SPM di sekolah, lazimnya melibatkan mereka yang tercicir daripada alam persekolahan atas sebab tertentu.
Kebiasaannya, calon SPM persendirian akan menduduki peperiksaan pada waktu yang sama seperti calon sekolah, namun ditempatkan di dewan peperiksaan yang berasingan.
Sumber: Threads








