Penyanyi, Amira Othman memandang dari sudut positif setiap kali timbul khabar angin mengenai dirinya kini berbadan dua. 

Artikel Berkaitan: Amira Othman Jawab Dakwaan Sedang Hamil? – ‘Doa Baik-Baik, Sesuai Dengan Waktunya Saya Kongsikan’

Artikel Berkaitan: Amira Othman Tangguh ‘Terbang’ Ke Korea, Maam Nurul Minta Berehat Dahulu – ‘Bukan Kita Minta Ini Berlaku’

Sambut baik doa peminat

Amira, 30, berkata, sejak bergelar isteri kepada aktor, Fattah Amin, soalan berkaitan zuriat menjadi antara topik yang paling kerap ditanya.

Begitu pun kata Amira, perkara itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana menganggap sudah menjadi lumrah dalam kehidupan pasangan yang berkahwin.

Selepas berkahwin, soalan orang memang akan beralih kepada anak. Dulu sebelum kahwin orang tanya soal jodoh, sekarang tentang zuriat pula. Bagi saya, itu perkara biasa.

Sama ada kami menafikan atau mengiyakan sesuatu, kami hanya akan berkongsi bila tiba masanya. Apa saja pertanyaan atau dakwaan, saya anggap sebagai doa yang baik. 

Mestilah kami aminkan. Siapa yang tidak mahu zuriat? Semua ada waktu yang Allah sudah tetapkan.

Amira berkongsi perkara itu ketika ditemui di program Amber Allstar Picklebash di Kings Court @ TTDI, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, pelantun lagu Bila Nak Kahwin itu berkata, dia dan Fattah sentiasa terbuka menerima rezeki sekiranya dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat.

Kami tak menolak rezeki. Kalau sudah tertulis waktunya, kamilah orang yang paling bersyukur. Kami pun baru kahwin.

Saya faham kenapa sesetengah orang rasa topik ini sensitif. Nak tanya orang lain pun saya rasa segan, takut tersalah langkah.

Sementara itu, Fattah menegaskan mereka tidak pernah terasa hati dengan apa-apa pertanyaan daripada peminat, sebaliknya menghargai setiap doa yang dititipkan buat mereka.

Dalam setiap perkahwinan, semua orang mengharapkan zuriat. Cepat atau lambat, itu rezeki. Bila tiba masanya, sudah tentu kami akan kongsi. Kami tak ambil hati pun bila ditanya. Kami anggap semuanya doa yang baik.

Imbas kembali, Fattah dan Amira selamat diijabkabulkan pada 14 September lalu dalam sebuah majlis di sebuah resort di Sepang.