Penyanyi, Ammar Haikal, muncul sebagai juara dalam program nyanyian XO House Camp Concert yang berlangsung semalam, dan berjaya membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM12,121.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Hadie Kongsi Ammar Haikal Tak Berkira Soal Duit – ‘Saya Nak Bayar Balik Dia Tak Ambil Pun’

Artikel Berkaitan: Ameng Spring Terima Anugerah Ikon Antidadah, Netizen Bangga & Ucap Tahniah – ‘Dia Memang Layak Dapat’

Tidak sangka dinobatkan sebagai juara

Ketika ditemui OhBulan!, Ammar atau nama sebenarnya, Wan Ammar Haikal, 19, menzahirkan rasa gembira selepas bergelar juara dalam program XO House Camp Concert.

Perasaan saya bergelar juara malam ini, semestinya saya rasa gembira dengan apa yang saya dapat hari ini.

Saya pernah cakap dulu dekat program Talk To My Manager, saya bukan juara dekat sini, tapi Insya Allah juara dekat tempat lain.

Alhamdulillah saya dapat buktikan yang saya dapat buktikan dekat XO House Camp.

Tambah Ammar, dia masih belum mempunyai perancangan untuk menggunakan wang kemenangan itu, kerana tidak menjangka akan dinobatkan sebagai juara.

Untuk awal-awal ini, tiada perancangan sebab saya pun tak sangka saya menang malam ini.

Jujur saya cakap, saya masuk sini untuk fun, belajar benda baru, kenal kawan baru.

Sebab dekat TTMM, saya tak puas lagi belajar.

Alhamdulillah, hari ini rezeki saya untuk menang.

Ammar berkata demikian ketika ditemui selepas selesai acara program XO House Camp Concert, pada Sabtu.

Dapat belajar benda baru

Berkongsi lebih lanjut, bapanya yang juga merupakan vokalis kumpulan Spring itu, tidak dapat hadir untuk memberikan sokongan kerana terikat dengan komitmen kerjanya di Sarawak.

Ayah tak datang, sebab ada konsert di Sarawak.

Mak saya sahaja yang datang.

Ammar turut berkongsi tentang pengalaman dan ilmu yang diperoleh sepanjang program ini berlangsung, baginya kini dia lebih mahir dalam mengawal pentas, terutamanya ketika membawakan lagu berentak perlahan.

Apa yang saya belajar dekat sini, banyak sebenarnya. Contohnya, saya belajar cara untuk mengawal pentas.

Sebab sebelum ini saya banyak bawa lagu yang rancak, jadi untuk kawal pentas itu mudah.

Tapi untuk XO Camp ini, saya dapat cabaran baharu, iaitu membawakan lagu bergenre balada.

Jadi untuk mengawal pentas itu agak payah, dan bila saya masuk sini, saya dapat belajar kawal pentas untuk lagu yang perlahan.

Pada malam kemuncak itu, Ammar mendendangkan tiga buah lagu, salah satunya adalah lagu Kamelia.

Putera Nasa, Putra Danish, Ikhzy dan Airel Adam dinobatkan sebagai naib juara manakala Fariq Iqwan di tempat ketiga. 

Hayfa Andy pula berada di kedudukan keempat, manakala Aryan Alisa melengkapkan senarai Top 5 di kedudukan kelima.

Bina platform lebih tersusun

Sementara itu, Adib Hamdi, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif XO House, berkata, XO CAMP diwujudkan sebagai sebuah platform untuk mencungkil dan membangunkan bakat-bakat baharu.

Melalui inisiatif ini, kesemua artis baharu XO House yang berpotensi ditandatangani akan dipilih secara eksklusif daripada program ini, sebagai usaha untuk membina platform yang lebih tersusun, relevan dan dekat dengan generasi muda, di samping menyumbang kembali kepada pembangunan industri muzik tempatan.

Konsert kemuncak ini menampilkan persembahan daripada Iman Troye, Zubir Khan, Naim Daniel, Aufahanie, Syafiq Aqiel, Awa Zainal dari Kartika, Imran Ajmain, Ismail Izzani, Zynakal serta Finalis XO Camp.