Lagenda rock tanah air, Datuk Amy Search menyambut baik pujian rakan seperjuangan, Datuk Awie yang menyifatkan dia sebagai figura paling layak memegang gelaran ‘Raja Rock Negara’.

Artikel Berkaitan: Awie Akui Amy Search Lebih Layak Pegang Gelaran ‘Raja Rock Negara’ – ‘Dia Yang Patut Diangkat Sebagai Godfather’ 

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Isteri Minta Bawa Jumpa Erra Fazira’ – Awie

Tak kejar status

Bagaimanapun, ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Suhaimi Abdul Rahman, 68, berkata dia lebih selesa untuk kekal merendah diri dan fokus terhadap kualiti kerjayanya tanpa mengejar sebarang status atau gelaran tertentu.

Pelantun lagu Isabella itu menegaskan bahawa prinsip utamanya dalam industri adalah kejujuran dalam berkarya.

Pertamanya saya nak ucapkan terima kasih kepada dia tapi bagi saya, saya tak pernah rasa begitu sebab saya cuma buat kerja saya saja.

Selebihnya kalau mereka rasa nak berikan gelaran itu terpulang.

Bagi saya, saya tak rasa apa-apa sebab sebab dalam industri seni ni saya cuma buat kerja saya ataupun berkarya dengan penuh kejujuran dan selagi jalan tu ada, selagi itulah saya lukiskan perjalanan seni saya.

Amy demikian ketika ditemui media pada majlis eksklusif bagi memperkenalkan karya terbaharu arahan Syed Fariz yang berjudul 5 Bomoh di Hemisfera Luxury Sky Hall, Kuala Lumpur Tower, pada petang Isnin.

Ketika ditanya sama ada dia mempunyai nama yang sesuai untuk memegang gelaran itu, Amy berkata dia tidak pernah terfikir tentang itu kerana percaya kebanyakan penggiat seni hanya ingin memberikan yang terbaik buat industri.

Tak pernah terfikir. Dalam dunia seni ini, bukan satu perlumbaan.

Mereka masing-masing ada perjalanan tersendiri. Mereka semestinya mempunyai visi dalam kerjaya mereka dan apa yang dibuat itulah impian mereka.

Mereka hanya mencorakkan tanpa mengejar status dan gelaran.

Dalam perkembangan lain, selepas sekian lama tidak muncul di layar perak, Amy dilaporkan bakal muncul menerusi filem 5 Bomoh yang akan ditayangkan bermula 4 Jun ini.

Selain Amy, Datuk Aaron Aziz, Scha Alyahya, Datuk Afdlin Shauki, Aedy Ashraf, Ozlynn, Johan dan ramai lagi membintangi filem tersebut.