berita

Ana Raffali Masih Menanti Anak Sulung

January 3rd, 2013 | by Ai
Kini Trending

Rentak Ana Raffali atau nama sebenar Ana Nur Hidayah Mohd Raffali dalam bidang nyanyian tampak amat perlahan tanpa sebarang kemunculan berskala besar dalam mana-mana program televisyen atau konsert. Entah apa sebabnya, adakah juara Anugerah Juara Lagu 25 ini sudah merajuk dengan industri, atau kini tumpuannya lebih kepada komitmen sebagai seorang isteri kepada Ahmad Aznaim?

Lewat petang semalam, pihak OHBULAN! telah menghubungi penyanyi yang popular dengan lagu ‘Tolong Ingatkan Aku’ bagi mengetahui perkembangannya yang terkini.

“Saya sebenarnya aktif dalam membuat persembahan tertutup dan program anjuran siswazah. Saya sangat bersyukur rezeki sentiasa ada dalam bidang seni yang saya perjuangkan dengan cara tersendiri.”

“Sekarang ini sedang menunggu masa yang paling sesuai untuk berkongsi lagu terbaru ‘Jauh ke Syurga’ dengan khalayak. Ini merupakan percubaan pertama saya sebagai seorang penerbit dan pemilik label saya sendiri, disamping mempertaruhkan lagu dan lirik ciptaan sendiri.”

“Saya juga sangat berbesar hati kerana diberi peluang dan kepercayaan untuk menyumbangkan sebuah lagu untuk album permulaan Asmidar, berjudul ‘Sepasang Sudu.’

Memandangkan hampir setahun Ana Raffali mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, jadi timbul juga persoalan adakah Ana kini sudah berbadan dua dan apakah agaknya azam baru Ana untuk tahun 2013 ini?

“Kami masih menantikan berita gembira, lebih rezeki daripadaNya. Tolong doa-doakanlah ye.”

“Saya bukan jenis yang suka buat azam tahun baru. Saya sentiasa berazam untuk perbaiki kelemahan diri dari semasa ke semasa. Dan fokus saya pada tahun 2013 ialah untuk memajukan lagi syarikat saya bersama suami iaitu ‘About the Letter A Sdn. Bhd.’

“Saya juga ingin menghasilkan lebih banyak lagu dan ia bukan sekadar untuk diri sendiri malah untuk pemuzik-pemuzik lain. InsyaAllah saya juga ingin mengadakan persembahan siri jelajah untuk rakan-rakan saya di setiap negeri kelak.”

Dalam pada itu, menerusi laman Twitter milik Ana Raffali sendiri, penyanyi ini telah mengaku bahawa perkara paling baik dan bermakna dilakukan olehnya pada tahun 2012 adalah apabila berkahwin dengan teman baiknya sendiri.