berita

‘Anak Saya Kembali Ke Pangkuan Walaupun Tidak Bernyawa’ – Pelajar Lemas Ditemui Selepas 2 Hari

May 10th, 2021 | by Iera Zahirah
Kini Trending

Seorang kanak-kanak yang berusia lapan tahun dikhuatiri lemas apabila dia dikatakan terjatuh ke dalam longkang berhampiran rumahnya di Flat Cempaka di Seremban 2 pada Sabtu lalu.

Tergelincir sebelum dihanyut arus deras

Dikatakan sehingga malam semalam, kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Mohamad Syafiq Mustaqim belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih lagi diteruskan selepas kanak-kanak terbabit tergelincir sebelum dihanyut oleh arus deras berhampiran dengan rumahnya itu.

Ibunya, Nor Ain mengatakan bahawa dia terkejut dengan perubahan sikap anaknya itu yang tiba-tiba tidak gembira dengan baju baru untuk raya yang menjelang tiba nanti. Selalunya dia mengatakan yang anaknya itu selalu teruja apabila membeli benda baru termasuk pakaian baru.

Menurut ibunya lagi, dia masih tidak menyangka perubahan sikap anaknya itu seperti memberi petanda sesuatu akan berlaku pada anaknya.

Saya belikan baju baharu untuk sambutan Aidilfitri, tetapi rasa terkilan kerana baju Mohamad Syafiq Mustaqim sekadar tinggal kenangan.

Terkejut terima berita anak terjatuh longkang

Ibunya akui berasa terkejut apabila menerima berita mengenai anaknya terjatuh dalam longkang dan dibawa arus deras. Dia sudah berpesan kepada anaknya agar tidak keluar rumah kerana cuaca kurang baik pada ketika itu.

Walau bagaimanapun, Nor Ain tidak mampu menahan sebak memikirkan tragedi yang menimpa keluarganya itu dan dia masih setia menunggu anaknya yang belum ditemui  di lokasi operasi SAR.

Hati saya tidak tenang selagi anak saya tidak dijumpai dan akan tetap tunggu di sini.

Mohamad Syafiq Mustaqim dijumpai

Akhirnya, Mohamad Syafiq Mustaqim telah dijumpai. Mayat kanak-kanak berkenaan telah dijumpai kira-kira jam 7.30 pagi tadi selepas hilang selama dua hari.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri mengatakan jenazah Mohamad Syafiq Mustaqim telah dihantar ke unit forensik Hospital Tuanku Ja’afar bagi melakukan bedah siasat.

Ibunya bersyukur kerana akhirnya anaknya telah ditemui dah dapat melihat wajah anaknya itu.

Alhamdulillah, akhirnya saya dapat lihat anak dan kembali ke pangkuan saya walaupun dia sudah tidak bernyawa.

Sumber : Harian Metro

SKIP THIS AD ×