Di Sepanyol, seorang remaja perempuan telah ditahan oleh pihak polis selepas disyaki membunuh ibunya di kediaman mereka. Lebih mengejutkan apabila gadis itu tergamak membiarkan mayat ibunya di dalam tab mandi selama 4 bulan.
Simpan mayat hampir 4 bulan
Menerusi laporan yang dipetik daripada Mirror UK, insiden pembunuhan itu berlaku pada bulan April lalu iaitu ketika penduduk di sana diarahkan untuk kekal di dalam rumah berikutan dengan wabak coronavirus. Mangsa yang dikenali dengan nama Ana itu telah ditikam oleh anak perempuannya, Teri sebelum mayatnya ditinggalkan di dalam bilik air selama 4 bulan.
Malah, suspek yang berusia 19 tahun itu tanpa rasa serba salah telah tinggal bersama mayat ibunya di rumah berkenaan. Oleh kerana terlalu lama mayat itu di dalam rumah, maka mayat tersebut telah reput dan mengeluarkan satu bau yang sangat busuk sehingga mengganggu jiran tetangga. Tetapi mereka langsung tidak mengesyaki itu adalah bau mayat yang datangnya dari salah sebuah rumah di tingkat empat di l’Alcudia de Crespins, Selatan Sepanyol. Hal ini kerana, apabila jiran bertanya di mana ibunya, Teri hanya memberitahu Ana akan pulang ke rumah tidak lama lagi. Oleh itu, mereka tidak mengesyaki apa-apa.
Suspek ditahan polis
Namun rahsia pembunuhan itu akhirnya terbongkar selepas Teri mengaku kepada kawan lelakinya bahawa dia telah menikam ibu kandungnya sehingga maut. Kawan lelaki suspek telah melaporkan kepada pihak polis berhubung dengan kejadian dan pihak polis bergegas ke rumah itu untuk menahan Teri dan lelaki berkenaan.
Apabila di rumah, pihak polis menemui mayat Ana yang sudah reput berada dalam tab mandi di bilik air. Menurut sumber, Teri dan kawan lelakinya itu tinggal serumah bersama mangsa. Hasil daripada soal siasat, Teri akhirnya mengaku melakukan pembunuhan itu. Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak dapat memastikan tarikh sebenar mangsa dibunuh kerana keadaan mayatnya sudah reput.