Pempengaruh Indonesia iaitu Gita Savitri Devi menjadi topik hangat baru-baru ini selepas meluahkan pendapatnya bahawa memiliki anak adalah satu beban.
Anak adalah satu beban?
Isu tersebut mula tercetus selepas salah seorang pengguna media sosial bertanya kepada Gita bagaimana mahu kelihatan awet muda sepertinya meskipun usia Gita sudah mencecah 30 tahun. Menjawab pertanyaan tersebut, Gita memberitahu bahawa rahsia kekal awet muda bagi wanita yang sudah berkahwin adalah dengan tidak memiliki anak.
Hal ini kerana, wanita tanpa anak tidak akan berdepan dengan tekanan dalam membesarkan anak-anak malah mereka juga dapat berehat secukupnya.
Tidak mempunyai anak adalah cara semula jadi untuk awet muda. Anda boleh tidur 8 jam sehari dan tidak akan tertekan mendengar jeritan anak. Saat wajah berkedut, kita ada duit untuk melakukan botoks.
Menerusi siaran langsung bersama suaminya di Instagram, Gita memberitahu mereka nekad untuk tidak memiliki anak kerana beranggapan bahawa zuriat itu adalah satu beban.
Bagi saya anak itu beban. Bagi anda, tidak membebankan dan itu adalah anugerah. Tapi bagi saya beban sebab itu saya tak nak ada anak. Bagi saya itu bukanlah satu kesalahan.
Pendedahan tersebut bagaimanapun mendapat pelbagai respon daripada netizen yang rata-ratanya yang berpendapat Gita tidak sewajarnya berkata sebegitu kerana zuriat adalah rezeki daripada Allah SWT. Bukan itu sahaja, kenyataan Gita seakan menyindir para wanita yang bergelar ibu.