Akhirnya misteri kehilangan seorang isteri yang didakwa melarikan diri dari rumah terjawab apabila mayatnya ditemui secara tragis dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai pagi semalam. Kejadian itu dipercayai dilakukan oleh suaminya sendiri.
Lebih memilukan apabila tergamaknya suami menembak isterinya yang berusia 38 tahun ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi.
Mengaku bunuh isteri sendiri
Pada 1 Mac 2021 lalu pihak polis telah menerima satu laporan melibatkan mangsa perempuan warganegara Malaysia berusia 38 tahun telah hilang. Hasil siasatan mendapati mangsa telah keluar rumah pada 1 Mac 2021 lebih kurang 2 pagi selepas pergaduhan bersama suaminya.
Susulan itu, pihak polis telah menangkap suami dan rakan kepada suami mangsa untuk membantu siasatan. Hasil siasatan mendapati suami mempunyai rekod jenayah yang lampau.
Selepas siasatan, suami mangsa mengaku telah membunuh isterinya dirumah waktu tidur menggunakan senapang angin. Lebih memilukan apabila mayat wanita malang berkenaan dimasukkan ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar sebelum ia dibawa ke sebuah ladang serai di Bandar Penawar, lebih 30 kilometer dari kediaman mereka dan ditanam di situ
Mayat isteri dalam tong air
Suspek kemudian menunjukkan lokasi isterinya ditanam, semalam kira-kira jam 10.30 pagi. Mayat mangsa yang diisi di dalam tong air itu turut ditemui tertanam sedalam kira-kira dua meter di ladang serai berkenaan.
Kita percaya suspek membawa tong air biru itu di dalam pacuan empat roda miliknya ke ladang berkenaan sebelum menggunakan jengkaut bagi menggali lubang bagi menanam tong berkenaan.
Hasil siasatan lanjut di rumah suspek menemukan selaras senapang angin, selaras senapang patah, 54 butir peluru penabur 12 bore, sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Pajero dan jengkaut.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay , kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu, selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan. Kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960. Polis berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh tiga hari selepas laporan dibuat.
Sumber : Polis Johor