berita

Angkara Cemburu, Suami Tetak Leher Isteri Hamil Hingga Mati, Suspek Sembunyi Di Ladang Kelapa Sawit

March 9th, 2021 | by Shira
Kini Trending

Hanya kerana cemburu, seorang suami tergamak menetak leher isterinya yang berusia dalam lingkungan 20-an sehingga maut. Lebih menyayat hati apabila mengetahui mangsa ketika itu sedang sarat hamil.

Tetak sebab cemburu

Sekadar gambar hiasan

Memetik laporan Harian Metro, insiden ngeri itu dipercayai berpunca selepas suspek yang berusia 22 tahun mengetahui isterinya mempunyai hubungan sulit. Dia kemudian meminta isterinya, Norhasnah Sahanin menceritakan perkara sebenar tetapi wanita terbabit dikatakan enggan membuka mulut.

Susulan daripada itu, tanpa berfikir panjang, suspek yang juga merupakan warga asing dan bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit bertindak menetak leher isterinya yang sedang mengandung itu di rumah kongsi mereka yang terletak di Kampung Tanah Merah Checkpoint, Tawau-Semporna.

Sembunyi dalam ladang kelapa sawit

Selesai membunuh, suspek telah melarikan diri dan bersembunyi di ladang kelapa sawit yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisoner Peter Umbuas, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan berhubung kejadian.

Suspek berjaya ditahan selepas bersembunyi di kawasan ladang kelapa sawit iaitu kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian pada 12:05 tengah malam.

Pihak polis juga berjaya merampas sebilah parang panjang berukuran 68 sentimeter bersama sarung parang berwarna biru dan sehelai seluar panjang. Berikutan daripada itu, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×