Di India, seorang ibu tergamak menghentak kepala dua orang anak gadisnya sehingga mati. Tindakan itu dilakukan atas nasihat seorang pengamal ilmu hitam yang menyuruh si ibu berbuat demikian. Malah, si suami pula hanya melihat dan tidak menghalang.
Memetik laporan Gulf News, mangsa iaitu Alekhya berusia 27 tahun dan adiknya Sai Divya berusia 22 tahun mati di rumah mereka di kampung Ankieshettypalle pada hari Ahad lalu.
Hentak kepala anak
Berita mengejutkan itu dilaporkan orang ramai kepada pihak polis tempatan. Menurut laporan, si suami telah memberitahu rakannya melalui panggilan telefon sebelum melaporkan tindakan isterinya itu kepada pihak polis.
Pasangan suami isteri ini ditahan untuk siasatan dan pihak polis menemui senjata digunakan iaitu tombak bermata tiga dan alat senaman iaitu dumbel di lokasi kejadian. Bagaimanapun, pihak polis tempatan menghantar pasangan itu untuk pemeriksaan perubatan bagi memastikan keadaan mental mereka terlebih dahulu sebelum siasatan lanjut.
Kedua-dua gadis itu ditemui berlumuran darah dan dibawa ke hospital kerajaan di Madanapalle.
Siasatan mendapati suspek iaitu ibu mangsa bekerja sebagai pengetua sekolah manakala ayah mangsa adalah seorang profesor madya di sebuah kolej.
Temui tanda ritual
Polis turut menemui beberapa tanda ritual keagamaan di rumah itu yang menunjukkan pembunuhan kejam dipercayai ada kaitan dengan kepercayaan karut.
Difahamkan, mangsa Alekhya menamatkan Sarjana Pengurusan Perniagaan dan bekerja di sebuah institusi pengurusan hutan di Bhopal, manakala, adiknya menamatkan pengajian dalam Pentadbiran Perniagaan serta belajar muzik di Akademi Muzik AR Rahman di Chennai.
Kedua-dua beradik ini pulang ke rumah bagi melawat ibu bapa mereka sebelum dibunuh suspek.
Menurut Deputi Superintendan Polis iaitu Ravi Manohara Chary berkata suspek seperti mengalami delusi dan hasil dari soal siasat mendapati suspek mendakwa anak gadisnya itu akan ‘kembali’ pada waktu pagi.
Kami lihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengenal pasti semua orang yang mengunjungi rumah itu sejak beberapa hari terakhir untuk mengetahui motif pembunuhan.
Walaupun suspek menegaskan dia sendiri melakukan perbuatan itu tanpa nasihat dari sesiapa. Polis bagaimanapun dalam usaha mencari individu yang mengunjungi rumah tersebut untuk melakukan ritual.
Sumber: Gulf News