berita

Angkatan Tentera Malaysia Siap Sedia Hadapi Banjir, 5,496 Lokasi ‘Hotspot’ Dikenal Pasti

October 20th, 2022 | by Sya Alkaf
Kini Trending

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

Sebanyak 5,496 lokasi ‘hotspot’ banjir telah dikenal pasti di seluruh Malaysia dan seramai 16,612 pegawai serta anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengambil serius laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung kemungkinan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini.

ATM sedia gerakkan anggota dan aset pada bila-bila masa apabila diarahkan  

Terang Hishammuddin, ATM bakal bersiapsiaga di setiap negeri untuk mengaturgerak aset dan anggota ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan.

Operasi yang dikenali sebagai OP MURNI ini bakal melibatkan sejumlah 146 pegawai dan 4,155 anggota lain-lain pangkat (LLP) sebagai pasukan responder pertama bagi melaksanakan kerja-kerja menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan secepat mungkin. 

Bagi penugasan aset, ia bakal melibatkan aturgerak ribuan aset perairan dan darat membabitkan lebih 1,000 trak berkapasiti 1 hingga 7 tan, 251 unit bot, 295 unit enjin bot dan 5,573 jaket keselamatan.

Beliau juga menegaskan bahawa jumlah aturgerak anggota serta aset ATM ke seluruh negara adalah fleksibel.

ATM  mempunyai keupayaan tinggi untuk menambah bilangan anggota serta aset pada bila-bila masa sekiranya diperlukan selari dengan arahan yang dikeluarkan oleh MKN.

Bantuan perubatan di PPS

Menerusi sidang media Majlis Penyerahan Aset Banjir Kementerian Pertahanan di Pangkalan Udara Kuantan, Hishammuddin turut memberitahu pasukan perubatan ATM juga dipersiap untuk melaksanakan bantuan perubatan di PPS.

Selain itu, hospital dan pusat perubatan ATM akan sentiasa dalam keadaan siap siaga, termasuk Hospital Medan.

Antara fokus lain dalam Op Murni adalah melaksanakan operasi menghantar barang keperluan ke PPS dan kawasan yang terputus hubungan jalan darat serta memasak di PPS.

Tidak dilupakan adalah membantu kerja-kerja pembersihan dan baik pulih pasca banjir termasuk di kediaman, sekolah dan rumah agama.

SKIP THIS AD ×