
Lebih setahun berehat dari industri hiburan, pelakon meningkat naik Aniq Suhair memilih untuk memfokuskan dirinya dengan pelajaran di sebuah institusi pengajian.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Aniq Suhair Mengaji Raih Pujian – ‘Masya-Allah, Suka Tengok Vibe Dia Yang Sekarang’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Nenek Kurang Senang Tonton Lakonan Aniq Suhair – ‘Kenapa Tidur Dengan Perempuan Atas Katil?’
Sambung pengajian
Ketika ditemui OhBulan, Aniq atau nama lengkapnya Aniq Suhair Mohd Salleh menafikan dirinya merajuk dengan dunia lakonan namun sebaliknya mahu membekalkan diri dengan ilmu terlebih dahulu.
Bukan merajuk, saya cuma ambil masa berehat dalam masa setahun lebih untuk fokus kepada pengajian dan beberapa cabang perniagaan.
Semasa berehat, saya sendiri lihat saya mampu untuk mendapat markah yang cemerlang dalam pelajaran. Justeru, saya nekad untuk habiskan pengajian terlebih dahulu.
Dalam masa yang sama, saya juga mahu mengumpul tenaga dan semangat untuk kembali berlakon.
Menurut Aniq, kekangan masa juga antara faktor dia tidak dapat kembali ke kaca televisyen.
Saya masih dapat banyak tawaran semenjak berehat namun saya tolak secara baik kerana masih belum bersedia.
Jika tawaran yang melibatkan iklan dan hanya di media sosial saya masih boleh beri komitmen. Tetapi untuk drama ianya sukar kerana penggambaran ambil masa yang agak lama.
Aniq berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Global Station Sdn Bhd yang berlangsung di Kemensah Height pada Selasa.
Ambil iktibar
Dalam pada itu, aktor berusia 25 tahun tersebut berkata, dia mengambil pendekatan untuk mendekatkan diri dengan Allah ketika namanya berdepan dengan kontroversi.
Semua yang terjadi sudah tertulis dan ini adalah ujian daripada Allah untuk saya.
Saya maafkan sesiapa sahaja yang terlibat kerana mungkin dirinya juga ada kekurangan.
Alhamdulillah saya temui ketenangan malah tak pernah rasa depresi atau mengganggu kesihatan mental.
Dalam masa yang sama, pelakon drama Cinta Bersemi Di Wadi Safiyyah itu mengambil iktibar daripada isu tersebut untuk sentiasa berwaspada dengan setiap individu.
Isu itu juga mengajar saya untuk lebih berhati-hati kerana kita tak tahu niat mereka.
Sekarang saya hanya berkawan dengan orang yang penting sahaja dan saling memberi manfaat antara satu sama lain.
Terdahulu, Aniq pernah terpalit dengan kontroversi apabila seorang wanita mendakwa dirinya telah dihamilkan dan memintanya bertanggungjawab.