Penyanyi, Anuar Zain menyifatkan arwah bapa tercinta, Zain Abdullah sebagai seorang insan penyayang, bertanggungjawab dan sentiasa mendahulukan keluarga melebihi dirinya sendiri.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Anuar Zain Dedah Arwah Ayah Hidap Kanser Prostat, Syukur Proses Pengurusan Jenazah Dipermudah

Abah bertanggungjawab

Anuar berkata, sejak kecil dia dan adik-beradiknya tidak pernah merasai kesusahan kerana arwah jarang sekali mengeluh dan sentiasa memastikan keluarga cukup serba-serbi.

Saya dan adik-beradik yang lain sejak kecil, kami tidak pernah rasa susah. Abah sentiasa mendahulukan keluarga. Walaupun kami dari keluarga sederhana, abah tetap pastikan saya ada duit sekolah, makan dan pakaian cukup.

Walau susah macam mana pun keadaan, abah tidak pernah mengeluh atau bersuara. Bila saya sudah dewasa, saya hargai segala penat lelah dan kesusahan yang dia alami demi keluarga.

Kalau hari raya, abah dengan mak tak beli baju, tetapi baju untuk anak-anak sentiasa berganti. Abah sangat bertanggungjawab dan penyayang.

Tambah Anuar, meskipun arwah sudah berusia lebih 80 tahun, dia tetap mahu berdikari dan enggan menyusahkan anak-anak.

Malah, pada usia 82 tahun pun dia masih mahu buat semua perkara sendiri. Mahu bawa kereta sendiri untuk ke pasar, pergi klinik ambil ubat. Dia kata tak mahu susahkan anak-anak.

Nasihat anak-anak

Selain menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab, Anuar berkata arwah bapanya juga gemar memberi nasihat mengenai kehidupan.

Abah sentiasa menasihati anak-anak untuk sentiasa berbuat baik dengan semua orang. Dia pesan jangan buat jahat pada orang lain walaupun ada orang yang menyusahkan hidup kita.

Abah tidak ajar anak-anak untuk menilai atau menghukum orang lain. Abah pesan fokus pada urusan sendiri, dia kata buat apa-apa pun perlu ikhlas.

Dia juga ada kata jangan berkira dengan orang lain, kalau orang itu tiada duit makan, belikan la makan untuknya. Dia suka memberi (bersedekah).

Tambah Anuar, dia juga tidak akan melupakan momen air mata bapanya gugur ketika melihat dia menjayakan konsert sulung sekitar tahun 2013.

Saya masih ingat, ketika konsert sulung saya sekitar 2013, dia datang dan tonton konsert itu dia rasa sedih. Abah kata dia tak mahu lihat anaknya kerja, hidup susah.

Abah lihat kepayahan anak-anak dia untuk jadi penyanyi, itu yang buat dia menangis. Saya kata dengan dia doakan yang terbaik untuk saya.

Terdahulu, arwah menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun di kediamannya di Kayangan Heights, Shah Alam, pada Selasa.

Arwah juga disahkan menghidap kanser prostat sejak Disember lalu dan keadaan kesihatan dilaporkan semakin merosot.