berita

Anugerah Juara Lagu Ke-35 Bersiaran 14 Mac Ini Tanpa Penonton

February 18th, 2021 | by Wan
Kini Trending

Ekoran daripada pengumuman penundaan Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) bulan lalu, AJL35 kini dijadualkan bersiaran secara langsung tanpa penonton pada hari Ahad, 14 Mac 2021, 9 malam di Auditorium MBSA, Shah Alam.

14 Mac malam kemuncak

Anugerah Juara Lagu 35 yang dihoskan oleh Sherry Alhadad, Haziq Hussni dan Awal Ashaari ini telah dijadualkan untuk bersiaran pada 7 Februari 2021 di Auditorium MBSA, Shah Alam, sebelum pengumuman penundaannya yang disebabkan oleh pelanjutan tempoh PKP.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad & Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata pihaknya telah menetapkan 14 Mac sebagai malam kemuncak AJL35 namun akur jika terdapat perubahan terkini dari Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kami telah bersedia untuk menganjurkan AJL35 dalam norma baharu. Penularan Covid-19 ini membuatkan kami lebih menitik beratkan kesihatan kakitangan, artis-artis serta mereka yang terlibat menjayakan produksi ini. Dalam situasi penularan pandemik ini, kami akan memanfaatkan kebenaran serta kelonggaran yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah berkuatkuasa bermula 8 Januari lalu.

Saksikan Debaran AJL35

Saksikan juga Debaran AJL35, sebuah program khas berdurasi satu jam bersama Sherry Alhadad dan Haziq Hussni yang menyingkap setiap sudut persiapan AJL35. Debaran AJL35 ini akan disiarkan secara langsung pada pukul 5.30 petang – 6.30 petang, hari Sabtu, 13 Mac 2021 di TV3. Selain itu, para penonton di rumah berpeluang untuk saksikan temu bual eksklusif di karpet merah yang digelar Lounge AJL35 bersama Muaz Mohamed (Kool FM) dan Sissy Imann pada hari Sabtu, 14 Mac 2021 pada pukul 8.30 malam di TV9.

Untuk maklumat lanjut, para penonton boleh layari www.anugerahjuaralagu.com serta laman media sosial rasmi Facebook, Instagram dan Twitter TV3 Malaysia dan Senang Terhibur. Ikuti juga trend semasa perbualan alam maya melalui #AJL35.

AJL35 turut disokong oleh rakan-rakan pemasaran, rakan radio Hot FM dan Kool FM serta rakan digital Senang Terhibur, OHBULAN! dan xtra.com.my.

SKIP THIS AD ×