
Penyanyi dan pelakon, Ara Johari mendedahkan pernah merasai kehadiran aura yang tidak menyenangkan ketika membuat persembahan di lokasi sama berlangsungnya program Talk To My Manager (TTMM).
Artikel Berkaitan: ‘Amad Bukan Panik, Anxiety, Penat Atau Tak Sihat Tapi…’ – Hatta Dolmat
Aura aneh

Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 28, berkata, meskipun tidak pernah diganggu secara langsung, dia mengakui berasa seperti diperhatikan oleh ‘sesuatu’ sepanjang berada di lokasi tersebut.
Saya pernah buat persembahan di situ. Mungkin cadangan untuk ‘bersihkan’ tempat itu ada baiknya juga.
Saya tak pernah nampak apa-apa atau diganggu, cuma terasa macam diperhatikan. Kadang-kadang kita boleh rasa aura yang berbeza, tapi saya sendiri tak pasti betul atau tidak.
Kalau ada orang boleh sahkan memang ada ‘sesuatu’, mungkin saya pun tak datang lagi lepas ni.
Ara berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Siapa Dia di Kuala Lumpur, pada Isnin.
Mengulas insiden membabitkan peserta program tersebut iaitu Amad Dayyan yang tiba-tiba pengsan, Ara melahirkan rasa simpati dan mendoakan agar kanak-kanak berusia 13 tahun itu segera pulih.
Apa yang berlaku memang mengejutkan. Nampak agak teruk sebab dia tiba-tiba pengsan sampai ganggu persembahan.
Tambahan pula, dua peserta lain dilaporkan alami gangguan yang sama, termasuk Aisha Retno. Kita doakan semoga Amad cepat sembuh sebab industri perlukan bakat-bakat seperti dia.
Dalam pada itu, pelantun lagu Menjaga Jodoh Orang Lain enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan wujud amalan ilmu hitam yang dikaitkan dengan pertandingan nyanyian.
Saya tak nak komen sebab kalau kita kata ada, nanti boleh jadi fitnah. Tapi dulu saya sendiri pun tak percaya benda-benda macam ini. Lepas orang terdekat kena, baru saya percaya memang wujud perkara sebegini.
Sebab tu sekarang saya lebih berhati-hati, jaga percakapan, elak sakitkan hati orang dan sentiasa berdoa agar dijauhkan daripada hal-hal begitu.
Terdahulu, beberapa artis termasuk Shila Amzah turut meluahkan kebimbangan terhadap lokasi pertandingan itu dan mencadangkan agar segera ‘dibersihkan’.
Sementara itu, pelawak dan usahawan Shuib juga tidak menolak kemungkinan kewujudan unsur mistik dengan mendedahkan arwah isterinya, Siti Sarah, pernah mengalami kejadian pelik ketika menyertai pertandingan nyanyian di lokasi sama.
Sebelum ini, Amad dilaporkan rebah selepas menamatkan persembahannya pada konsert Grand Finale TTMM, Ahad lalu.
Amad segera dibantu oleh petugas sebelum mendapatkan rawatan. Begitu pun, hasil pemeriksaan perubatan mendapati tiada sebarang masalah kesihatan.
Undi MJOL

Dalam perkembangan lain, lagu Menjaga Jodoh Orang Lain nyanyian Ara tercalon dalam OhBulan! Paling Viral Online menerusi kategori Lagu Paling Hot.
Undian kini dibuka sehingga 25 November 2025, dengan maksimum 50 undian setiap hari. Senarai Top 5 akan diumumkan pada 1 Disember, sebelum malam kemuncak berlangsung pada 19 Disember 2025, jam 9 malam.
Untuk memperluas capaian, OhBulan! melaksanakan kempen promosi berskala besar merangkumi artikel khas, video pendek di TikTok & YouTube, podcast Show Dalam Bilik serta kempen iklan digital.
Selain itu, kolaborasi bersama TV3, Hot FM dan Kool 101 juga dijalankan untuk memastikan sambutan lebih meluas.
Penggunaan hashtag rasmi #ohbulanpalingviralonline turut digalakkan bagi merancakkan perbualan dan interaksi di media sosial.
Untuk mengundi dan maklumat lanjut sila layari www.ohbulan.com/ohbulanpalingviralonline.








