Penyanyi Indonesia, Ari Lasso mendedahkan hasratnya untuk mendirikan rumah tangga bersama kekasih, Dearly Djoshua tahun ini di Israel terpaksa ditangguhkan susulan konflik perang yang sedang berlaku di negara tersebut.

Artikel Berkaitan: Ari Lasso Syukur Sambut Ulang Tahun Ke-50, Ajak Peminat Beri Sumbangan Buat Pejuang

Nikah di Israel

Perkara itu dikongsikan Ari ketika menjadi tetamu dalam sebuah program bual bicara dan mengakui mereka sebelum ini merancang untuk melangsungkan perkahwinan di Israel.

Menurut bekas vokalis kumpulan Dewa 19 itu, sebagai penganut Kristian, dia mengimpikan majlis berlangsung di Israel sebagai simbolik penyatuan mereka di hadapan Tuhan.

Pada asalnya memang kami mahu berkahwin tahun ini. Kami bercadang untuk mengadakan majlis pemberkatan di Tanah Suci, tetapi rancangan itu tidak dapat diteruskan kerana peperangan yang berlaku di sana.

Mengulas lanjut, Ari berkata mereka sengaja memilih Israel kerana mengimpikan sebuah majlis yang sederhana dan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat, khususnya anak-anak mereka.

Katanya, dia tidak berhasrat mengadakan majlis besar atau resepsi yang meriah, sebaliknya lebih selesa dengan suasana intim bersama insan tersayang.

Hubungan pasangan itu sebelum ini pernah menjadi perhatian ramai apabila dikatakan berpisah pada penghujung tahun lalu. Bagaimanapun, mereka kembali menjalinkan hubungan dan kini dilihat semakin bahagia bersama.

Sumber: Indtimes