Penyanyi, Ziana Zain meluahkan rasa syukur kerana sepanjang lebih tiga dekad bergelar anak seni, dia sentiasa mendapat sokongan penuh daripada insan paling rapat dalam hidupnya iaitu arwah ayah tercinta, Zain Abdullah.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Anuar Zain Dedah Arwah Ayah Hidap Kanser Prostat, Syukur Proses Pengurusan Jenazah Dipermudah

Tulang belakang

Ziana, 57, berkata, arwah bukan sekadar bapa yang membesarkannya, malah menjadi tunjang utama dalam perjalanan kariernya sejak mula melangkah ke dunia seni bersama adiknya, Anuar Zain.

Arwah ayah memang tulang belakang saya dan Anuar. Dialah orang pertama yang mengajar saya menyanyi, bagaimana nak tarik nafas dengan betul serta cara menyebut setiap perkataan dengan jelas. Dari situlah asas nyanyian saya terbentuk.

Tidak hanya dari aspek vokal, Ziana turut berkongsi arwah ayah sangat menitikberatkan soal penampilan dan fesyen.

Selain itu, dari sudut penampilan dan fesyen, dia sangat menitiberatkan perkara itu. Daripada awal saya jadi penyanyi sampai sekarang.

Walaupun sejak kebelakangan ini dia tidak berapa sihat, dia tetap bertanya siapa akan ‘makeup’ dan pakai baju apa.

Nanti saya habis di acara, sampai sahaja rumah, saya akan tunjuk gambar kepada dia. Kemudian dia akan cakap ‘cantik’.

Tambah Ziana, pesanan paling bermakna yang sering dititipkan arwah adalah agar sentiasa menyanyi dengan ikhlas kerana itulah sumber rezeki utama buat dirinya.

Dia pesan menyanyi dengan iklhas, kerana kerjaya ini lah sumber rezeki. Dia kata pastikan penonton atau peminat rasa aura diri setiap kali melangkah atas pentas dan lakukan yang terbaik.

Terdahulu, arwah menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun di kediamannya di Kayangan Heights, Shah Alam, pada Selasa.

Arwah juga disahkan menghidap kanser prostat sejak Disember lalu dan keadaan kesihatan dilaporkan semakin merosot.