Sepasang suami isteri, Surawati dan Muhammad Noor Idham Ramli maut dalam kemalangan selepas kereta yang dipandu mereka bertembung dengan sebuah lori muatan baja di Kilometer 134, Jalan Kuantan-Seremban.
Namun apa yang lebih menyayat hati apabila Surawati sempat mencampakkan anak bongsunya ke tempat duduk bahagian belakang demi menyelamatkannya.
Keluarga tidak tahu mereka bertolak awal
Menerusi Berita Harian, pasangan ini bersama tiga orang anak mereka iaitu Arfan Rakeen, Areesh Razeen dan Aryan Rizqy sedang dalam perjalanan menuju ke kampung suaminya di Jempol, Negeri Sembilan. Menurut, Syaidatul Fatihah adik kepada Surawati, mereka sekeluarga tidak tahu keluarga ini akan bertolak awal sehari ke rumah mentuanya.
Kakak memaklumkan mereka akan bertolak esok ke rumah mentuanya kerana anaknya tidak bersekolah malah keluarga abang ipar pun tak tahu lima beranak itu bertolak awal.
Mungkin lepas suaminya habis kerja awal pagi mereka terus bertolak ke Felda Lui dengan menaiki kereta Perodua Myvi.
Maut di tempat kejadian
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata kemalangan itu berlaku selepas kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh Muhammad Noor dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori.
Mangsa, Muhammad Noor maut ditempat kejadian akibat cedera parah di kepala sementara isterinya, Surawati meninggal dunia selepas dirawat di Hospital Muadzam Shah.
Pemandu lori Md Kamarudin Ibrahim, 43, turut cedera dan keterangannya sudah diambil bagi membantu siasatan.
Mereka menangis di hospital
Mereka sekeluarga tidak tahu tentang kejadian itu sehinggalah dihubungi oleh pihak hospital. Anak-anak arwah menangis sebaik sahaja mereka tiba di hospital.
Kami dimaklumkan kakak dan suaminya meninggal dunia dan pihak hospital minta kami datang ambil tiga anak mereka yang cedera ringan.
Apabila tiba di hospital anak saudara menangis dan ahli keluarga cuba menenangkan mereka.
Sempat campak adik ke belakang
Tambahnya lagi, menurut Aryan Rizqy, anak sulung kepada pasangan ini memberitahu ibunya sempat mencampakkan adik bongsunya, Arfan Rakeen ke bahagian tempat duduk belakang bagi menyelamatkannya.
Aryan sempat menyambut adiknya sebelum kereta berkenaan berlanggar dengan lori.
Tambah Syaidatul Afifah lagi, dia membawa ketiga-tiga anak mangsa duduk bersama mereka sekeluarga.
Bagaimanapun, kami akan berbincang dengan ahli keluarga abang ipar mengenai penjagaan tiga anak arwah ini.
Sumber: Ain Sofea, Harian Metro, Berita Harian