Pelakon kontroversi, Hafidz Roshdi telah memuat naik satu hantaran di Instagram iaitu ‘Surat Terbuka’ buat isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.
Surat terbuka buat Nurul Shuhada
Menerusi kandungan surat tersebut, Hafidz memberitahu selama ini dia hanya berdiam diri meskipun pelbagai fitnah yang telah dilemparkan Shuhada atau lebih mesra dengan panggilan Shu terhadap dirinya.
Saya tahu segala apa yang awak canangkan, tidaklah semuanya benar maka saya terpaksa menulis di sini kerana awak sendiri yang telah menutup segala jalan untuk perdamian dan menyelesaikan secara kekeluargaan.
Shu, saya jaga erat segala aib, kelemahan dan kekurangan awak sebagai isteri selama ini. Kita tidak sempurna. Saya hadap segala caci dan maki atas kelemahan dan kesilapan diri saya sendiri. Sebagai insan yang lemah, kita berdua tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Agak malang, ianya menjadi luar kawalan.
Tambah Hafidz lagi, sikap keterbukaan Shu menceritakan masalah rumah tangga mereka di media sosial telah membuka aib sehingga menimbulkan fitnah. Bukan itu sahaja, Hafidz mendakwa kenyataan yang pernah dikeluarkan Shu pada 5 Mac lalu mengenai keluarganya adalah satu fitnah.
Apabila awak mula mencanang fitnah dan kenyataan palsu tentang keluarga saya, awak sudah mula melampau dan saya tidak lagi boleh berdiam diri. Antara butirannya, status Instagram awak menyebut adik saya bersubahat dan seluruh keluarga saya bersifat toksik. Ianya jelas dan nyata, satu fitnah.
Rentetan status Instagram awak itu, maka ada pihak lain yang telah menggunakan gambar saya, awak dan seisi keluarga saya merujuk kepada topik atau kandungan tersebut.
‘Saya masih lagi abah kepada anak-anak saya’
Hafidz mendakwa keselamatan serta ketenteraman keluarganya juga kini terjejas berikutan hantaran yang dimuat naik Shu di Instagram sebelum ini. Tambah pelakon berusia 29 tahun ini lagi, memandangkan isu rumah tangganya ini berada di dalam penyiasatan pihak polis maka dia berharap agar orang ramai yang tidak terlibat supaya tidak memberikan sebarang komen.
Demi menjaga kesejahteraan dan keselamatan diri dan kelaurga saya dengan rasa rendah diri memohon dan memberikan tempoh 48 jam dari sekarang bagi Shu dan mana-mana pihak untuk menarik balik sebarang penerbitan umum dan gambar keluarga saya berkaitan dengan isu atau kes rumah tangga saya ini.
Saya juga mahu agar permohonan maaf secara terbuka dibuat oleh pihak awak. Sekiranya tidak, saya mahu semua memahami situasi saya. Saya terpaksa mengambil tindakan berlandaskan undang-undang terhadap mereka yang telah menyentuh maruah dan privasi keluarga saya.
Saya masih lagi abah kepada anak-anak saya. Kesejahteraan dan keselamatan mereka adalah objektif utama hidup saya. Saya juga ingin terus mencari nafkah yang halal untuk tidak mengabaikan tanggungjawab saya terhadap mereka.
Dalam pada itu, Hafidz memohon jasa baik semua pihak untuk menghormati segala keputusannya demi kesejahteraan dan keselamatan keluarga masing-masing.
Sumber: Hafidz Roshdi