Menjelang hari raya yang bakal tiba, ramai yang sudah terbayang-bayang suasana di pagi raya dan terutamanya makanan enak yang disajikan terutama rendang, ketupat dan lemang. Bagi yang telah berusaha untuk menurunkan berat badan ketika bulan puasa pasti mengatakan ‘habislah diet aku sepanjang puasa dulu’.
Juadah hari raya sememangnya mempunyai jumlah kalori yang agak tinggi dan perlu diambil secara tidak berlebihan supaya korang tidak menyesal dikemudian hari. Korang kena tahu jumlah kalori dalam setiap hidangan yang dimakan agar tidak melebihi had kalori badan seseorang itu. Jadi kali ini kami senaraikan 8 makanan berkalori tinggi untuk panduan korang semua berdasarkan info dari Kementerian Kesihatan Malaysia.
Ketupat palas
Ketupat palas merupakan antara makanan yang popular di hari raya. Siapa sangka 1 biji ketupat yang seberat 50 gram memiliki kalori sebanyak 130 kcal. Ketupat palas mengandungi jumlah kalori yang lebih tinggi berbanding ketupat biasa yang hanya memiliki sebanyak 80 kcal. Ni belum campur kalori dari minyak kalau korang buat ketupat palas goreng.
Lemang
Selain ketupat, menu yang sering menjadi kegemaran ialah lemang. Rasanya yang lebih berlemak berbanding ketupat membuatkannya antara makanan yang mempunyai banyak kalori.
Satu potong kecil yang berukuran 1cm tebal mempunyai kalori sebanyak 100 kcal. Cuba bayangkan kalau korang sekali makan 5-6 keping lemang, dah mencecah 500-600 kcal. Jumlah kalori tu tak masuk rendang lah, serunding lah.
Rendang
Tak lengkap hari raya korang jika tidak menjamu rendang. Tak kira rendang daging mahupun ayam, rendang semestinya lauk wajib yang dimakan bersama-sama ketupat dan lemang. Jika korang ambil 2 ketul daging rendang dalam hidangan korang, jumlah kalorinya ialah 130 kcal manakala 2 ketul ayam rendang bersamaam dengan 100 kcal.
Ayam masak merah
Pergi sahaja rumah sesiapa, korang mesti dihidangkan dengan ayam masak merah. Menu ini seolah-olah benda wajib yang patut ada semasa hari raya. Ada juga sesetengah tu yang masak menggunakan minyak yang lebih sampai boleh lihat apungan minyak di kuahnya. Untuk pengetahuan korang, setiap ketul ayam masak merah ini mempunyai kira-kira 150 kcal.
Mi kari
Hidangan ringkas tetapi lengkap seperti mi kari ini pasti membuat sesiapa sahaja akan menghidangkannya semasa jamuan rumah terbuka. Kuah karinya yang pekat beserta dengan ayam, daging, tauhu, sayur dan telur membuatkan sesiapa yang menjamu makanan ini pasti tidak cukup semangkuk.
Namun tahukah korang bahawa semangkuk mi kari mempunyai 530 kcal. Ni belum makan lebih semangkuk lagi. Jadi beringat-ingatlah semasa makan ye.
Laksa Terenggannu
Tak sah rasanya bila beraya di pantai timur tak rasa laksa Terengganu yang sungguh pekat dan sedap. Rasa kuah yang penuh dengan ikan ditambah dengan rasa masam-masam membuatkan sesiapa yang makan tidak akan dikecewakan. Namun siapa sangka semangkuk laksa ini mengandungi jumlah kalori yang agak tinggi iaitu 440 kcal.
Sate ayam & daging
Sebut je sate mesti ramai yang terbayang cara masakanya yang menggunakan dapur arang sambil dikipas-kipas sehingga masak. Makan sate kalau tak lebih 10 cucuk tak sah, sebab secucuk sate hanya ada isi daging atau ayam yang sedikit. Ini membuatkan korang yang makan rasa tak puas sehingga tambah bilangan sate lagi dan lagi.
Kalau korang nak tahu, 5 cucuk sate ayam mempunyai kalori sebanyak 100 kcal manakala 5 cucuk sate daging mempunyai 130 kcal. Lepas ni nak makan sate kena la kira berapa batang dah makan, jangan main makan je sampai melebihi tahap kalori yang diperlukan.
Dodol
Bagi kategori kuih pula, dodol antara kuih tradisional turun temurun yang merupakan menu wajib di setiap rumah semasa hari raya. Ibarat tak sah raya kalau tak ada dodol. Rasa dan teksturnya yang kenyal membuatkan korang mengunyahnya berulang kali sampai tak sedar dah berapa potong dodol yang korang makan.
Kalau korang nak tahu, sepotong dodol kecil yang beranggaran 20g mempunyai kalori sebanyak 70 kcal. Kandungan kalori dari dodol ini agak tinggi jika dibandingkan dengan kuih raya yang lain seperti tat nenas, kuih bangkit, suji dan sebagainya.
Lepas korang dah tahu jumlah kalori setiap makanan yang dihidangkan semasa hari raya, korang boleh la mula mengatur rancangan untuk tidak makan dalam jumlah yang banyak dalam satu-satu masa untuk mengelakkan berat badan korang meningkat secara mendadak. Maklumlah nak turun masa bulan puasa bukan main payah, nak naikkannya sekejap je.
Kalau boleh lepas ni makan dalam piring kecil supaya nampak banyak makanan korang tu. Selamat Hari Raya semua!
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia