Dah jadi macam kebiasaan untuk kita semua berbelanja besar demi menyambut kedatangan Syawal yang mulia ini. Buktinya, setiap kali Hari Raya Aidilfiti menjelang tiba, pasti anda semua mula mengira bajet kan.
Begitu juga dengan pelantun lagu ‘Kalau Aku Kaya’, Awi Rafael yang juga memperuntukkan sekitar RM 6,000 hingga RM8,000 untuk persiapan hari raya. Wah. Banyaknya kan? Namun, perbelanjaan itu merangkumi semua segi, termasuklah bajet untuk pemberian duit raya kepada para peminatnya.
Awi tak sabar beraya bersama keluarga tercinta
“Persiapan raya Awi ringkas sahaja. Sama seperti tahun-tahun lalu. Cuma Awi lebihkan sikit bajet untuk beri duit raya memandangkan sekarang lebih ramai kawan-kawan dan juga untuk peminat yang kanak-kanak.”
Bakal beraya di Singapura selama seminggu, Awi juga memberitahu bahawa dia sangat menantikan saat untuk makan bersama ahli keluarganya di pagi raya.
“Adik beradik Awi hanya ada 3 orang. Kami dibesarkan oleh ibu tunggal. Jadi, setiap kali raya kami hanya akan makan empat orang anak beranak sahaja di pagi raya.
Juadah kegemaran Awi ialah ayam masak merah. Tapi Awi tak makan ketupat. Jadi ibu Awi akan sediakan nasi untuk Awi.”
Apabila diajukan soal peribadi, Awi menyatakan bahawa dia tidak mempunyai teman wanita istimewa buat masa ini dan dia mahu memberi fokus kepada kariernya terlebih dahulu.