Tindakan seorang wanita mempromosikan poster konsert Awie dan beberapa artis terkenal lain yang tidak wujud menerusi media sosial mengundang padah apabila dia ditahan polis, semalam.
Nafi terima tawaran
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, pihaknya menerima laporan berhubung perkara tersebut daripada Dato’ Awie pada hari Selasa yang lalu. Ujar Awie, dia mendapat tahu perkara itu oleh rakan artis ketika berada di rumahnya di Bukit Antarabangsa. Terdapat satu hantaran di Facebook mempromosikan konsert yang dijangka berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 4 Februari 2023.
Suspek dikatakan menawarkan jualan tiket konsert berkenaan berharga antara RM199 sehingga RM649 setiap satu. Bagaimanapun, Awie menafikan menerima tawaran atau menandatangani sebarang kontrak untuk menyertai konsert terbabit. Selain Awie, poster itu juga menampilkan beberapa artis lain yang dikatakan membuat persembahan termasuk Ahmad Dhani, Ziana Zain, Ella dan Erra Fazira.
Saya nak tekan di sini, kami artis semua tidak tahu menahu pasal konsert ini. Gambar kami digunakan untuk poster dan scam orang. Jadi berhati-hati semua. Jangan mudah terpedaya dengan sebarang perkara yang tiada sebarang bukti yang nyata. Jika konsert pastinya akan ada press conference lebih-lebih lagi dengan nama artis yang besar-besar. Mengikut rekod perempuan ni dah beberapa kali kena tangkap kerana menipu juga. Itu saja yang saya nak kongsi dengan kalian.
Tambah Farouk, pihaknya telah menahan seorang wanita berusia 48 tahun di Klang selepas dipercayai terbabit dengan penipuan tersebut.
Sumber: Dato’ Awie