berita

Ayam Kena Saman, Berkokok Sampai 200 Kali Sehari

August 19th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Sepasang suami isteri di Bad Salzuflen, Jerman memfailkan kes mahkamah terhadap jiran mereka kerana tidak tahan lagi mendengar kokokan ayam jantan yang dipelihara mereka.

Sama bising dengan jalan raya sesak

Memetik laporan Oddity Central, Friedrich-Wilhelm, 76 tahun, dan isterinya, Jutta mendakwa bahawa mereka tidak dapat berehat dengan tenang kerana ayam itu berkokok sehingga 200 kali sehari.

Ayam jantan bernama Magda itu mula berkokok sekitar pukul 8 pagi setiap hari dan tidak akan berhenti berkokok sehingga dikurung semula dengan ayam-ayam lain pada waktu senja.

Difahamkan, mereka pernah cuba berunding dengan jiran mereka mengenai perkara itu, namun tiada yang berubah dan mereka terpaksa membawa perkara itu ke mahkamah.

Pasangan itu juga dilaporkan telah merakam bunyi kokokan haiwan itu sebagai bukti mahkamah.

Jiran kami enggan beralah mengenai isu ini dan kami mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan kehidupan seperti itu atau menang dalam perbicaraan.

Kami tidak boleh menggunakan kawasan taman dan tidak boleh membuka tingkap. Kami sudah tidak tahan lagi.

Menurut peguam mereka, Torsten Gieseke, ayam jantan yang aktif seperti Magda sepatutnya tidak boleh berada di kawasan perumahan yang tenang.

Dua tahun lalu, pernah dilaporkan ada seorang jiran yang terpaksa berpindah keluar dari kejiranan tersebut kerana tidak tahan dengan kokokan Magda.

Bunyi kokokan Magda juga pernah diukur dengan keputusan yang menghasilkan 80 desibel, bersamaan dengan bunyi bising restoran atau jalan raya yang sesak.

Sumber: Oddity Central

SKIP THIS AD ×