Ahli kumpulan 4U2C iaitu Azam menafikan dakwaan bekas pengurus yang juga komposer, Man Senoi yang mengatakan dirinya dan isteri, Mama Rap mempunyai hak terhadap kesemua 25 lagu yang dinyanyikan kumpulan tersebut.

Artikel Berkaitan: 4U2C Tuntut Permohonan Maaf, Bagi Tempoh 24 Jam

Banyak lagu dihasilkan ahli 4U2C

Sebaliknya, Azam mendakwa kebanyakan lagu yang terkandung dalam dua album yang pernah dihasilkan ditulis sendiri ahli kumpulan 4U2C.

Bercakap mengenai soal penciptaan lagu, saya pun sebenarnya merupakan ahli badan perlesenan Music Authors’ Copyright Protection Berhad (MACP) sejak tahun 1992 dan saya masih lagi aktif.

Saya juga tahu hal-hal berkaitan dengan hak milik penciptaan lagu.

Mungkin ramai yang tak tahu dan ramai anggap lagu-lagu kami adalah kepunyaan bekas pengurus kami iaitu Man Senoi.

Tetapi sebenarnya lagu-lagu seperti ‘Fiona’ adalah ciptaan Joe. Lagu ‘Kami Rappers’ dan ‘To Be Number One’ itu adalah lagu saya, seratus peratus.

Jadi, kami sendiri pun memang buat lagu sendiri.

Azam berkongsi perkara tersebut ketika sesi sidang media tergempar 4U2C mengenai penganjuran konsert ‘WE 4U2C Live In Concert’ bertempat di Tribeca Serviced Hotel, Bukit Bintang pada Rabu.

Kecewa dengan Man Senoi

Sementara itu, Azam turut meluahkan rasa kecewa dengan Man Senoi yang dianggap telah mengeluarkan kenyataan mengelirukan sehingga menjejaskan perjalanan konsert mereka.

Kalau nak diikutkan daripada album pertama kami yang mempunyai 10 buah lagu, lagu yang ditulis Man Senoi ada tiga sahaja.

Album kedua kami pun begitu juga, kebanyakkan lagu adalah milik kami sebab kami yang mencipta lagu.

Jadi, untuk dia ‘claim’ 25 lagu itu dia yang buat, agak sedihlah.

Saya rasa isu ini tak sepatutnya timbul.

Pada Rabu, 4U2C mengadakan satu sidang media tergempar dengan meminta mana-mana pihak yang pernah mengeluarkan kenyataan tidak berasas berkaitan konsert We 4U2C Live In Concert untuk membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam.

Terdahulu, isu timbul susulan komposer Man Senoi bercadang mengambil tindakan sekiranya kumpulan rap tersebut menyanyikan lagu-lagunya di konsert We 4U2C Live In Concert September depan tanpa meminta kebenarannya.

4U2C dalam sidang media sama mengesahkan penganjuran konsert mereka boleh diteruskan tanpa perlu mendapatkan persetujuan mana-mana pihak berhubung hak cipta lagu.