Pelakon, Azhan Rani mendedahkan dia sudah lama tidak mengenakan baju Melayu pada pagi raya sejak pemergiaan bapanya pada 2016.

Artikel Berkaitan: Azhan Rani Sedih Tengok Video Pak Cik Dihalau Di Surau, Teringat Babak Drama Nur

Dah lama tak pakai baju Melayu

Menurut Azhan atau nama lengkapnya Azhan Abdul Rani, dia pasti akan terkenang akan figura arwah bapanya setiap kali menyambut perayaan Aidilfitri.

Disebabkan itu, dia memilih untuk tidak lagi mengenakan baju Melayu di pagi raya.

Sebelum ini saya seronok dengan hari raya dan sayalah yang akan pastikan semua pakai baju raya sedondon.

Tapi selepas 2016 iaitu selepas pemergian arwah abah, saya cuma pakai t-shirt sahaja di pagi raya. Sampaikan nak pakai baju melayu pun saya tak sanggup dah.

Dan saya rasa, dah lama dah tak pakai baju Melayu ketika pagi raya. Kalau pakai pun hanya dalam drama lakonan saya saja.

Tambah pelakon drama ‘Nur’ itu lagi, dia juga tidak mempunyai perasaan seronok menyambut Aidilfitri tanpa bapanya di sisi.

Saya bahkan tak ada mood pun nak pergi beraya kecuali kalau mak saya nak jumpa saudara atau kawan-kawan dia itu saya bawalah. Tetapi untuk saya pergi beraya rumah orang, itu tidaklah.

Sebab saya masih lagi macam terkenangkan arwah abah. Bukanlah tidak reda, tetapi saya akan lebih terkesan kalau pergi beraya. Saya jadi teringat pada arwah.

Azhan berkongsi perkara tersebut menerusi sesi podcast ‘Sembang Seram’ yang dikendalikan pempengaruh, Safwan Nazri.

Cemburu pada mereka yang masih ada ayah

Berkongsi lanjut, Azhan memaklumkan dirinya berasa cemburu terhadap mereka yang masih mempunyai peluang untuk berbakti kepada bapa masing-masing.

Ujarnya, masih banyak perkara yang tidak dapat dilakukan sewaktu keberadaan bapanya di sisi.

Perasaan rindu itu susahlah untuk saya lepaskan lagi-lagi bila dah tak dapat salam tangan orang tua yang selama ini menjaga kita, ia merupakan satu kehilangan yang besar.

Saya rasa cemburu pada orang yang masih ada bapa, yang boleh pimpin bapa mereka ke sini dan ke sana.

Pada saya, banyak benda yang saya patut buat pada dia yang saya tak dapat buat.

Tapi sekarang ini saya masih ada mak, ini sajalah yang saya ada.

Sekadar info, bapa Azhan iaitu Abdul Rani Sabri meninggal dunia pada 21 Ogos 2016 akibat penyakit sesak nafas ketika berusia 71 tahun.

Sumber: TikTok, YouTube Sembang Seram