
Karnival Hijrah 2025 anjuran TV AlHijrah melabuhkan tirainya dengan penuh warna apabila lebih 5,000 pengunjung membanjiri Felda Air Tawar 2 sepanjang tiga hari penganjuran.
Artikel Berkaitan: Mawi & In-Team Gegar Kota Tinggi! Karnival Hijrah 2025 Janji Tiga Hari Penuh Ilmu, Hiburan & Ukhuwah
Warga FELDA memang meriah
Berlangsung pada 21 hingga 23 November lalu, suasana gamat dapat dirasai sejak hari pertama apabila warga setempat keluar beramai-ramai menikmati pelbagai aktiviti kerohanian dan kekeluargaan yang berlangsung dari pagi hingga ke malam.
Antara pembuka tirai yang mendapat sambutan luar biasa ialah Program Subuh Macam Jumaat, apabila ratusan jemaah hadir memenuhi masjid seawal pagi.
Kehadiran terus meningkat apabila program mewarna, pameran dari 14 agensi Hal Ehwal Agama, pameran ATM serta gerai jualan FELDA dan usahawan mula dibuka.
Pada malamnya pula, tayangan Wayang Pacak telefilem Qarin berjaya mencuri perhatian apabila penduduk setempat membawa seisi keluarga menonton santai.
Hari kedua lebih rancak dengan Pertandingan Nasyid Piala Ahli Parlimen Kota Tinggi yang menyaksikan kumpulan Soutun Ummah Al-Faizin diumum juara selepas persembahan bertenaga, membawa pulang piala dan hadiah RM1,000.
Hadiah disampaikan oleh Ahli Parlimen Kota Tinggi, YB Datuk Seri Haji Mohamed Khaled Nordin yang turut memuji usaha TV AlHijrah mengembalikan budaya kemasyarakatan di FELDA.
Karnival seperti ini bukan sahaja mendidik, malah menghidupkan kembali budaya komuniti yang saling menyokong.
Diserikan kehadiran selebriti
Kemeriahan diteruskan dengan Jamuan Kenduri Rakyat yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.
Turut mencuri tumpuan ialah kehadiran pelakon Azhan Rani yang bukan saja turun padang membantu persiapan hidangan, malah beramah mesra dengan pengunjung serta menghadiri tayangan Wayang Pacak Telefilem Bilal dan Abah lakonannya.
Pengerusi Lembaga Pengarah TV AlHijrah, Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron turut mengikuti rapat perjalanan program dan menyifatkannya seiring aspirasi TV AlHijrah mendekati masyarakat luar bandar.
Antara acara lain yang turut menjadi tumpuan ialah Pertandingan Sukan Rakyat, Rakaman Dakwah Live, serta Hijrah Berselawat bersama Mawi dan InTeam, yang mengumpulkan ratusan pengunjung bagi mengimarahkan ukhuwah dan kecintaan kepada Ilahi.
Kemuncak berlangsung pada hari ketiga menerusi Majlis Penutup yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar.
Karnival Hijrah 2025 berakhir dalam suasana penuh harmoni, meninggalkan kenangan manis kepada warga FELDA serta membuktikan program berteraskan nilai Islamik kekal dekat di hati masyarakat.