Kuala Lumpur sekali lagi menjadi saksi kehebatan penyanyi rap dan komposer  dari Korea Selatan, B.I, yang mengadakan konsert jelajahnya, The Last Parade Tour, di Mega Star Arena pada Ahad.

Artikel Berkaitan: B.I Kembali Gegarkan Malaysia Menerusi Konsert ‘The Last Parade’ Pada 21 September

Artikel Berkaitan: Kelincahan B.I Pukau 3 Ribu Penonton Di Mega Star Arena, Janji Akan Kembali Ke Kuala Lumpur!

Belanja 44 lagu!

Foto oleh penganjur Lo-Fi Entertainment

Konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi cukup istimewa kerana ia merupakan konsert terakhir B.I sebelum dia dipercayai memulakan latihan ketenteraan wajib di Korea Selatan.

B.I mempersembahkan lebih daripada 40 buah lagu, termasuk hits popular seperti Ila Ila, BTBT, Keep Me Up, Waterfall, Gray, Remember Me, serta One and Only. 

Selain itu, pemilik nama Kim Han-bin juga turut berkongsi demo dan lagu yang belum diterbitkan seperti Rainy Days, Let’s Break Up, OAE dan banyak lagi.

Konsert dibuka dengan ‘Parade’, sebelum diteruskan dengan lagu-lagu seperti Free Fall, To The Moon, dan Endless Summer yang membuat penonton mula bersorak dan berdiri. 

Bahagian pertengahan konsert pula membawa suasana seperti di sebuah kelab malam, lengkap dengan persembahan cahaya laser, skrin LED yang memukau serta audio bass yang bergema memenuhi dewan.

B.I kemudian tampil dengan gaya lebih santai di pertengahan konsert, memakai T-shirt putih dengan perkataan ‘IDs’ di hadapan serta sebuah Wau, layang-layang tradisional Malaysia yang digantung di belakangnya.

Dia kemudian mengambil bendera Malaysia dan membalut dirinya sambil menyanyi, menunjukkan penghargaan yang mendalam kepada peminat tempatan yang sentiasa menyokong kerjayanya sejak dahulu.

B.I sapa peminat

Foto oleh penganjur Lo-Fi Entertainment

Antara momen paling diingati malam itu ialah ketika B.I turun dari pentas dan berjalan menuju ke bahagian tempat duduk penonton, menyanyi sambil berjabat tangan dengan peminat. Sorakan semakin kuat apabila dia menaiki tangga dan menyapa peminat di aras atas.

Dari mula hingga ke penghujung konsert, suasana dalam dewan sentiasa ‘hype’, dengan peminat tidak berhenti bersorak, melambai lightstick dan ‘sing along’

Kualiti audio yang jelas, alunan muzik yang tersusun, dan permainan cahaya yang dinamik menjadikan keseluruhan konsert sebagai satu pengalaman berharga buat setiap penonton.

Konsert ditutup dengan penuh emosi melalui lagu ‘Re-Birth’, Romance dan Cosmos, seolah-olah simbolik kepada perpisahan sementara B.I dengan peminat.

Secara keseluruhannya, The Last Parade Tour di Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Lo-Fi Entertainment berjaya membuktikan mengapa B.I dianggap antara artis solo berpengaruh di Korea Selatan.