Akibat disambar api ketika membakar sampah di belakang rumah, seluruh tubuh Ali XPDC melecur 30 peratus. Kejadian yang berlaku pada 26 Mac 2020 lalu itu menyebabkan penyanyi kumpulan ini tidak boleh tidur lena dan berat badan pun susut 20 kg.
Tak boleh tidur lena
Memetik laporan Metro, insiden itu telah menyebabkan dia hilang selera makan dan sukar untuk tidur disebabkan kesakitan yang ditanggung.
Hampir tiga bulan saya tidak boleh tidur dengan lena. Berat juga susut sebanyak 20 kilogram. Kalau saya terjaga pada waktu malam memang payah nak tidur. Kadang-kadang saja dapat terlelap, mungkin disebabkan terlalu keletihan. Selain itu, saya juga tidak ada selera makan. Kalau dulu berat badan melebihi 80 kg tetapi kini 62 kg saja.
Rasa seperti dicengkam
Kejadian berlaku di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Klang ketika dia membakar sampah menggunakan petrol. Api secara tiba-tiba menyambar ke bahagian tangan dan muka.
Saya hanya bergantung dengan pil penahan sakit yang diberi doktor dan pengambilan suplemen. Nak pulih daripada kulit yang melecur memang ambil masa. Sehingga sekarang pun masih rasa pedih dan gatal.
Saya juga perlu jaga pantang supaya luka melecur cepat sembuh. Setakat ini, semuanya berada dalam keadaan baik cuma saya tidak boleh berdiri terlalu lama kerana rasa seperti dicengkam akibat pertumbuhan kulit baru.
Sementara itu, penyanyi Awie bersama kelab motor dan Sayap-Sayap Wings melakukan aktiviti kebajikan secara tertutup. Dia telah menziarahi beberapa rakan artis dan rumah anak-anak yatim.
Ini adalah lawatan kedua kami selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Sebelum ini kami melawat anak-anak tahfiz, hari ini ziarah abang Amran, selepas ini akan ke rumah Ali XPDC, Hamid Gurkha dan balu Yazed kumpulan Search.
Aktiviti kebajikan kami sentiasa bergerak. Kita hulurkan sikit sumbangan ikhlas dan melihat keperluan lain yang mereka perlukan pada masa akan datang.
Sumber: Metro