
Pelakon, Baizura Kahar kembali menghiasi layar kaca televisyen selepas 18 tahun menyepi daripada dunia lakonan.
Artikel Berkaitan: ‘Kadang Rasa Nak Berhenti Berlakon Sebab Masa Tak Cukup’ – Fasha Sandha Kongsi Momen Anak Menangis Tak Mahu Berjauhan
Kembali berlakon

Baizura, 44. berkata, sepanjang tempoh itu dia sebenarnya tidak pernah meninggalkan bidang seni namun lebih aktif bekerja di belakang tabir sebagai penulis skrip.
Jelas aktres itu, keputusan untuk menjauhkan diri daripada lakonan sebelum ini bukan sesuatu yang dikesali, malah dia berpuas hati kerana meninggalkan industri ketika berada di kemuncak menerusi filem Sepi.
Saya bukan berhenti sepenuhnya, cuma berehat seketika. Berehat berlakon dulu bukan sebab kahwin, tetapi kerana sudah tamat pengajian.
Kemudian selepas itu, saya pilih untuk bekerja dan menceburi bidang pengiklanan serta komunikasi korporat. Namun ingin saya jelaskan, minat terhadap dunia lakonan tak pernah padam.
Bidang tersebut selari dengan latar belakang pendidikan saya iaitu Diploma Komunikasi Massa dari UiTM dan Ijazah Seni Persembahan dari Universiti Malaya.
Namun, akhirnya saya sedar jiwa saya lebih cenderung kepada penulisan skrip dan itulah yang saya lakukan sehingga sekarang.
Baizura berkata demikian ketika ditemui pada sesi fotografi drama Isteri Ke-2 yang berlangsung di Media Prima, Bangsar, pada Selasa.
Berkongsi lanjut, ibu kepada tiga cahaya mata itu menjelaskan bahawa setiap keputusan untuk kembali aktif berlakon dibuat selepas berbincang dengan anak-anaknya yang kini berusia meningkat remaja.
Anak-anak boleh menerima keputusan saya untuk berlakon semula. Apa yang saya buat sekarang ini pun dengan izin mereka kerana saya memang utamakan perasaan anak-anak.
Bagi saya penting untuk tahu apa pandangan mereka terhadap watak yang akan saya bawa. Kalau mereka okey, barulah saya pertimbangkan untuk terima sesuatu tawaran.
Selain Baizura, drama Isteri Ke-2 yang bakal ditayangkan di TV3 dan platform Tonton itu turut dibintangi Zahiril Adzim dan Azira Shafinaz.








